Biarkan Anak Urus Diri Bukan Sebab Mak Malas Tapi Nak Dia Belajar Terutama Anak 3 Tahun Ke Bawah
“Biarlah saya suap anak makan, asalkan dia tak main dengan makanan dan tak bersepah” akhirnya anak tak pandai gunakan tangan untuk menyuap makanan, lebih sedih tak tahu fungsi tangan untuk menyuap makanan, memegang sudu kerana terbiasa makan bersuap. Malah hal ini berlarutan hinggalah anak berusia 6 tahun.
Membiarkan anak-anak melakukan sendiri bukan bermakna anda ibu bapa yang tidak peka terhadap anak-anak, malah anda adalah ibu bapa yang hebat kerana percaya dan memberikan peluang untuk anak meneroka kehidupan mengikut tahap usianya.
BIARKAN ANAK URUS DIRI?
Saya memang Mummy yang malas sebab banyak biarkan anak.
– Biarkan anak menangis untuk luahkan perasaan sedih dia.
– Biarkan anak jalan depan saya bila di “shopping mall”, saya ikut dia nak pergi mana-mana yang dia mahu.
– Biarkan anak pakai pakaian sendiri dan uruskan diri sendiri.
– Biarkan anak mewarna ikut warna yang dia mahu walaupun salah.
– Biarkan anak menconteng ikut imaginasi dia.
– Biarkan anak pakai kasut terbalik sampai dia sedar dan betulkan sendiri. 🩴
– Biarkan anak makan cekodok pisang dengan sos tomato bila dia kata nak cuba.
– Biarkan anak main apa yang dia mahu main.
– Biarkan anak pakai berlapis-lapis atau main tukar-tukar baju.
– Biarkan anak basuh cawan dan pinggan sendiri.
– Biarkan anak mandi lama-lama sampai dia penat mandi.
Sebab apa?
Sebab anak belajar melalui 3 E terutamanya semasa 3 tahun kebawah,
1. Experience (Pengalaman)
2. Experiment (Eksperimen)
3. Exploration (Eksplorasi)
Selagi tak melangkaui limit, selagi itu saya akan biarkan sebab kita kena faham yang anak memang sentiasa dalam proses pembelajaran. Tapi dalam membiar-biarkan perlu ada limitnya, tak adalah segala benda kita biarkan. Contohnya, anak gunting duit kertas pun kita biarkan.
Limit saya lebih daripada segi adab, pemakaian (pakaian berlainan jantina dan terdedah) dan pemilihan pemakanan
Banyak sangat kes yang saya jumpa berkaitan kelewatan perkembangan apabila mak ayah terlampau rajin sehingga tak beri peluang anak buat sendiri
Makan bersuap,
Pakaikan pakaian,
Pakaikan kasut,
Sentiasa dukung anak,
Tak pernah beri kebebasan untuk anak berjalan sendiri di luar rumah walaupun anak dah pandai jalan
Kalau sekali sekala nak bermanja tak ada masalah, yang menjadi masalah apabila anak tak diberi peluang langsung untuk uruskan diri sendiri
Saya teringat pernah ada 1 kes, anak umur 6 tahun tetapi perkembangan di tahap umur 2 tahun. Bermakna sudah terlewat 4 tahun. Apabila diselidik rutin harian anak, rupa-rupanya mak ayah tak pernah biarkan anak buat apa-apa sendiri. Iyalah, satu-satunya anak tunggal
Terlampau sayang dan rajin sehingga mengganggu perkembangan anak
Percaya tak bila saya cakap, 2 bulan sahaja perkembangan anak menjadi normal bila saya minta mak ayah biarkan dan beri peluang untuk anak buat semua perkara sendiri
Tapi mak ayah jangan silap sangka ya, ini kes terpencil dimana anak itu lahir normal cuma mak ayah yang tak tahu sebenarnya anak perlu belajar uruskan diri sendiri dan diberi kebebasan. Berbeza dengan kes Autisme, ADHD, Global Delay Development (GDD), Cerebral Palsy (CP) atau lain-lain.
Risau pula ada yang melabel semua anak yang ada masalah perkembangan adalah disebabkan kesilapan mak ayah
Jadi, kali ini saya nak kongsikan:
KELEBIHAN ANAK URUSKAN DIRI SENDIRI
1. PERKEMBANGAN NORMAL
Banyak komponen perkembangan lain akan meningkat semasa anak belajar uruskan diri sendiri selain skil urus diri. Contohnya,
– Butang atau zip pakaian
Skil motor halus
– Pakai seluar sambil berdiri
Keseimbangan badan dan skil motor kasar
– Basuh pinggan
Deria sentuhan dan koordinasi dua belah badan
– Melipat baju
Skil kognitif (pemikiran)
– Kalau kita bercakap dan bercerita dengan anak ataupun anak cerita apa yang dilakukan
Skil bertutur
– Semua aktiviti yang anak buat sendiri
Skil fokus
2. EMOSI DAN SOSIAL
Mengikut teori dari Erik Erikson berkaitan perkembangan psikososial (psikologi dan sosial), anak umur:
– 1 TAHUN 6 BULAN HINGGA 3 TAHUN
Anak akan melalui fasa autonomi vs malu/ragu-ragu. Waktu ini memang normal anak akan nak buat semua perkara sendiri dan waktu terbaik untuk anak belajar. Jika anak diberikan kebebasan untuk uruskan diri, tahap keyakinan diri anak akan berkembang
Tetapi jika anak sentiasa disekat, anak akan jadi ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri dan secara tak langsung menyebabkan masalah kurang keyakinan diri
– 3 TAHUN HINGGA 5 TAHUN
Anak akan melalui fasa inisiatif vs kesalahan. Jika kita banyak beri kebebasan untuk anak uruskan dan buat pilihan semasa 3 tahun ke bawah, waktu ini anak akan mula berinisiatif dan mempunyai banyak idea sendiri semasa bermain
Skil imaginasi dan skil bermain akan berkembang banyak semasa ini. Anak akan mula banyak buat “projek” sendiri tapi penting juga untuk tekankan aspek keselamatan. Tetapi jika anak tak dapat kembangkan perasaan nak berinisiatif, anak akan menjadi seorang yang takut-takut nak mencuba perkara baru
Inilah isu yang paling merisaukan sebab kesannya bukan waktu ini sahaja tetapi di masa akan datang
Jadi, bila kita banyak beri kebebasan pada anak secara tak langsung keyakinan diri anak juga meningkat. Sekiranya ada permintaan, saya kongsikan lebih lanjut tentang fasa ini.
3. KURANG STRESS
Bila anak dapat pilih apa yang dia mahu pakai, main atau belajar, secara tak langsung anak akan rasa yang dia belajar sebab dia yang nak belajar. Bukannya belajar sebab mak ayah suruh
Contohnya anak ambil sendiri kertas dan pensil untuk melukis atau mewarna sebab dia rasa nak melukis sesuatu bukan sebab mak ayah yang suruh. (Self-directed play)
Tiada paksaan untuk anak belajar semasa 7 tahun ke bawah ya, tarik minat anak untuk belajar dan pastikan anak yang mahu belajar dan bukannya kita yang nak anak belajar
Penting sangat untuk mak ayah pastikan anak sudah bersedia untuk membaca atau menulis sebelum mulakan. (Writing/reading readiness)
Saya pernah jumpa beberapa kes anak cemerlang di tadika dan darjah 1 hingga darjah 3 tetapi suatu masa tiba-tiba keputusan peperiksaan anak merosot mendadak. Bila diselidik, rupa-rupanya anak dah bosan belajar. Waktu itu, kita dah tak boleh putarkan masa balik.
Tetapi perlu ingat juga dalam biar-biarkan pun perlu tekankan aspek keselamatan dan adab juga terutamanya jika melibatkan masalah tingkahlaku anak. Dapatkan bantuan terapis sekiranya memerlukan
Maka, ayuhlah kita beri ruang dan peluang untuk anak belajar uruskan diri sendiri. Jomlah jadi mak ayah yang malas dalam aspek pengurusan diri anak.
Ada geng saya tak
Terima kasih, silakan share sekiranya bermanfaat untuk mak ayah lain
Kredit:Maryam Jamadi
Pediatric Occupational Therapist
BEYOND Home Therapy Selayang & JB
The post Biarkan Anak Urus Diri, Bukan Sebab Mak Malas Tapi Nak Dia Belajar Terutama Anak 3 Tahun Ke Bawah! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/biarkan-anak-urus-diri-bukan-sebab-mak-malas-tapi-nak-dia-belajar-terutama-anak-3-tahun-ke-bawah/