Biar Virus Di Masjid Mati Dulu Cikgu Rayu Orang Ramai Solat Di Rumah Ikut Saranan Mufti
Pelbagai langkah drastik terpaksa diambil untuk membendung penularan wabak COVID-19 kini. Sehingga kini, sebanyak 790 kes dicatatkan di Malaysia sekaligus menjadikan negara kita memiliki bilangan kes tertinggi di rantau ASEAN.
Dari jumlah itu, sebanyak lebih 500 kes melibatkan peserta himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada Februari lalu.
Justeru, pelbagai langkah diambil untuk menghentikan himpunan termasuklah upacara keagamaan selepas mendapatkan pandangan pakar kesihatan dan ahli agama.
Namun, tegahan berhimpun termasuk pembatalan solat Jumaat mengundang persepsi negatif segelintir pihak yang menganggap tindakan itu ibarat ‘tak cukup bertawakkal’ kepada Allah.
Jika anda berfikir sedemikian, ini sebab kenapa anda perlu ubah fikiran. Pesanan dari seorang guru, Mohd Fadli Salleh.
Kawan-kawan. Tolong baca dengan tenang dan hati terbuka.
Kita orang Islam sememangnya sangat sayangkan agama. Sangat. Isu penutupan masjid untuk mengurangkan wabak jadi isu besar sebenarnya.
Sana sini orang pakat marah.
“Apa takut virus lebih pada takutkan Allah? Wabak ini dari Allah. Kembalilah pada Allah. Itulah jalan penyelesaiannya.”
“Saat susah, saat getir begini pun nak tutup rumah Allah?”
“Saat dilanda wabak kenapa makin jauh dengan Allah? Kenapa makin dijauhi rumah Allah?”
“Lantak lah. Nak tangkap pun tangkap. Aku tetap nak solat jemaah di masjid. Masjid kami tetap akan laksanakan solat Jumaat dan solat jemaah 5 waktu. Kami bertawakkal sepenuhnya pada Allah.”
Kawan…
Sumber sahih mengatakan tempat paling mudah jangkitan virus bermula adalah pada tempat sujud berkarpet di masjid-masjid seluruh negara.
Virus COVID-19 boleh bertahan 3 hari kat tempat itu pada cuaca biasa, dan lebih 5 hari jika ada aircond.
Umum tahu, ledakan gelombang kedua bermula selepas perhimpunan di Masjid Petaling. Himpunan orang alim-alim, himpunan orang warak, zuhud dan baik itu Tuhan kirim ujian.
Ujian ini bukan untuk kita salahkan mereka. Tidak. Jangan marahkan mereka. Mereka dengan sukarela serah diri untuk disaring dan diuji.
Yang lepas itu lepas. Kita tak boleh ubah benda yang dah lepas.
Sekarang kena tumpu pada situasi semasa yang makin gawat.
Biar virus mati dulu
Tolong elakkan ke masjid saat Perintah Kawalan Pergerakan ini dilaksanakan. Biar virus yang ada di masjid-masjid seluruh Malaysia mati dahulu.
Allah tetap ada jika kita sujud di rumah. Bahkan sentiasa ada di mana kita berada.
Jangan terlalu taksub hingga sanggup ditahan hanya kerana ingin solat di masjid saat perintah berkurung ini. Tolong la jangan sampai begitu.
Kita ke masjid dengan hati yang penuh tawakkal pada Tuhan. Kita ke sana dengan hati inginkan akhirat lebih pada segala. Kita ke sana mungkin tak kisah walau hilang nyawa.
Namun kita pulang, kita peluk anak-anak kita. Kita genggam tangan isteri kita.
Anak-anak kita pula turun bermain dengan anak-anak jiran. Bertolak, bertepuk tampar, bergaduh, menangis dan pulang ke rumah.
Anak-anak jiran itu dimandi ibunya. Suaminya pula menggauli si isteri. Dan mereka pulang pula ke rumah mertua sebelah sana.
Sentuhan demi sentuhan sentiasa ada dengan orang baharu pula.
Dan bayangkan jika kita yang penuh tawakkal ini sujud ditempat sujudnya pembawa virus COVID-19, berapa banyak rangkaian virus telah kita bawa.
Sebab itu virus ini merebak sangat pantas tanpa dapat dikawal. Kerana ia mudah menjangkiti sesiapa sahaja termasuk benda seperti tombol pintu, pemegang pam minyak, karpet surau dan masjid.
Aku sangat sedih bila sudah ada yang memburukkan orang agama dan orang alim-alim sebagai pembawa pula.
Jadi dengan rendah diri, aku memohon kalian menjaga diri sendiri. Kita solat di rumah sebagaimana saranan mufti.
Tidaklah aku menyarankan kalian menjauhi Tuhan. Jangan salah faham. Saat diuji sememangnya kita kena lebih dekat pada Tuhan. Berdoa dan terus berdoa.
Cuma Allah bukan hanya ada di masjid. Di mana-mana, pada setiap masa ‘dia’ ada bersama kita.
Jika ada masjid di kampung kalian masih berdegil teruskan solat Jumaat, teruskan solat 5 waktu dengan membuka pintu, bisik-bisik dengan imam dengan tenang dan lemah lembut tentang perkara ini.
Jika tidak kita yang mencegahnya, nak harap siapa lagi.
Begitulah seadanya. Harap tiada yang salah faham dan kecam aku atas artikel ini.
Sumber: Mohd Fadli Salleh
The post ”Biar Virus Di Masjid Mati Dulu”, Cikgu Rayu Orang Ramai Solat Di Rumah Ikut Saranan Mufti appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/03/18/biar-virus-di-masjid-mati-dulu-cikgu-rayu-orang-ramai-solat-di-rumah-ikut-saranan-mufti/