Bersih 2 0 Mahu Pengganti Azhar Dapatkan Kepercayaan Awam
 KHAIRULANUAR YAHAYA 

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) mahu pengganti  Datuk Azhar Azizhan Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mendapat kepercayaan awam bagi meneruskan reformasi pilihan raya.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, pengganti Azhar perlu memenuhi berapa kriteria.
“Rekod prestasi terbukti dalam integriti individu; rekod prestasi  terbukti dalam kesaksamaan dan bebas daripada politik kerajaan dan  parti.
“Rekod prestasi terbukti dalam pengetahuan, pengalaman, kepakaran  mengenai undang-undang pilihan raya dan sistem pilihan raya,’ kata  Bersih 2.0/
Menurutnya, penggantian Pengerusi SPR perlu mematuhi syarat Perkara  114(2) bahawa bagi pelantikan ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong  hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu SPR yang  mendapat kepercayaan awam.
Menurut Bersih 2.0, Azhar telah membuat beberapa pembaharuan ketika menjadi Pengerusi SPR.
Pembaharuan yang diperkenalkan Azhar telah menjadikan penjalanan  pilihan raya lebih baik dan telus sekaligus melonjakkan nama SPR sebagai  badan pelaksana pilihan raya yang lebih berwibawa.
Antara reformasi yang dilaksanakan termasuklah pengedaran kad  pengundi sebelum pilihan raya bagi memaklumkan tarikh, pusat dan saluran  pengundian kepada pengundi.
Selain itu beliau turut membenarkan siaran langsung pengundian,  pengiraan dan penjumlahan undi, pengesahan kewujudan pengundi berumur 90  tahun dan ke atas untuk mengeluarkan mereka yang telah meninggal dunia  daripada senarai daftar pemilih.
SPR turut membuat laporan polis berkenaan kesalahan pilihan raya,  membawa calon yang tidak menghantar laporan perbelanjaan pilihan raya ke  mahkamah dan lain-lain lagi.
“Bersih 2.0 juga ingin mengulangi gesaan kami agar SPR perlu terus  komited melaksanakan agenda reformasi pilihan raya supaya sistem pilihan  raya negara kita benar-benar bersih dan adil serta tidak dilihat  sebagai alat kepada mana-mana pihak untuk memastikan mereka terus  berkuasa.
“SPR sebagai pengadil dalam pilihan raya perlu terus bebas untuk  memastikan padang permainan pilihan raya adalah sentiasa sama rata dan  tidak berat sebelah,” katanya.
Azhar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi SPR pada 29 Jun lalu. Dia  dilantik ke jawatan tersebut pada 28 September 2018 bagi menggantikan  Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau telah diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd.  Yassin untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.-SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/bersih-20-mahu-pengganti-azhar-dapatkan.html