Berjalan Mengiringi Jenazah
Soalan:
Ketika membawa jenazah ke kubur adakah disunatkan bagi orang ramai berjalan di depan jenazah atau dibelakangnya?
Jawapan:
Jumhur ulama’ menyatakan yang disunatkan bagi orang yang menghantar jenazah ke kubur ialah berjalan di depannya manakala sebahagian ulama’ menyatakan hendaklah berjalan di belakangnya.
Berkata Dr Wahbah Zuhaili:
Masalah berjalan di depan jenazah: “Disunatkan di sisi ahli feqah yang muhaddith iaitu Imam Malik dan Imam Syafie dan Imam Ahmad berjalan di hadapan jenazah dan mendekatkan kepadanya dengan sekira-kira nampak akan jenazah jika memandang kepadanya.” (Kitab Bidayatul Mujtahid, Al-Muhazzab dan lain-lain)
Ini adalah kerana apabila jauh maka tidak dikira bersama jenazah. Berjalan di depan jenazah itu adalah kerana hadith yang diriwayatkan olih Ibnu Umar r.a:
أنه رأى النبي صلّى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر يمشون أمام الجنازة
“Sesungguhnya beliau melihat akan Nabi saw dan Abu Bakar dan Umar r.a berjalan di depan jenazah.” (Riwayat Khamsah)
Dan dari kerana sungguhnya orang yang menghantar jenazah ke kubur itu adalah orang yang memohon syafaat bagi mayat maka yang memohon syafaat itu didulukan dari yang dimohonkan baginya syafaat.
Dan menambah oleh ulama’ Hanbali: “Tidak dimakruhkan keadaan orang yang menghantar jenazah itu berada di belakang jenazah kerana jenazah itu yang diikut akan dia. Dan tidak makruh yang menghantar jenazah itu berada di kiri atau kanannya dengan sekira-kira dibilang mengikut baginya.”
Dan menyebut oleh ulama’ Maliki atas qaul yang masyhur: “Orang yang naik kenderaan berada sedikit ke belakang dari jenazah.”
Dan berkata fuqaha’ mazhab Hanafi: “Disunatkan berjalan dibelakang jenazah.” (Kitab Durul Mukhtar)
Wallahua’lam.
Sumber: Al-Fiqh Al-Islami juz 2; Kitab Al-Janaiz
+ Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/07/berjalan-mengiringi-jenazah.html