Berehat Sejenak Untuk Meneruskan Langkah Dengan Lebih Gagah
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
aku biasa dengar dan diberikan nasihat, kita kena kerja keras, kena berusaha dan kerah keringat, untuk mencapai apa yang dicitakan. Suatu ketika dahulu aku memang memegang nasihat ini dengan begitu utuh. Sebab pesan bijak pandai, kalau nak berjaya, ikut sahaja jejak langkah orang yang dah berjaya.
Hakikat sebenarnya, tidaklah begitu, tidak semua orang berjaya boleh kita ikut jejak langkah mereka. Walaupun kita membontoti mereka setiap masa, ianya tidak akan mendatangkan hasil yang drastik, terutama jika apa yang mereka usahakan itu tidak selari dengan fahaman atau pemikiran kita.
Hidup di dunia ini, kita perlu bersederhana, kita perlu wasatiah dalam apa juga yang lakukan. makan tak boleh berlebihan, tidur tak boleh berlebihan, bekerja tak boleh berlebihan, bercuti tak boleh berlebihan. Semuanya kena ada kadarnya agar kehidupan kita lebih seimbang.
Aku pernah lebih 5 tahun hidup kerja keras, mengalahkan lembu di sawah. Mana tak nya, keluar selepas subuh, pulang pula awal pagi, memandu beratus kilometer setiap hari, tidur dalam kereta, badan jadi lemau, kesihatan merudum dan emosi terganggu.
Sampai satu tahap, kehidupan begitu tertekan, sehinggakan bercerita dengan orang yang sepatutnya memahami, kita pula dipersalahkan. Mencari alasan, tak mahu bekerja sebaiknya dan macam-macam lagi. Sedangkan mereka tidak pernah cuba memahami apa yang sedang dilalui.
Bukanlah nak minta dibantu, tapi sekurang-kurangnya fahami keadaan itu dan usahlah menjadikan perkara itu semakin buruk. Begitulah kawan, kalau kita tak boleh memberi nasihat untuk jadikan lebih baik, adalah sebaiknya kita diam sahaja.
Menuduh tak tentu hala ini bukan mendatangkan hasil yang baik, ianya hanya akan memberikan impak yang tak sepatutnya.
Tak mengapa untuk berehat sejenak
Andai hari ini, ada yang marah anda berehat kerana anda sepatutnya bekerja sedangkan anda telah pun mencurahkan jiwa dan raga setiap hari. Biarlah mereka marah, mereka tidak memahami, kita ini manusia yang ada banyak tanggungjawab.
Tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, kepada agama, masyarakat, jiran dan banyak lagi. Setiap tanggungjawab ini perlu diusahakan dan diuruskan dengan baik, bukan hanya membiarkan dengan alasan, kita sedang bekerja keras.
Ada perkara yang kita tidak boleh ulang, usah biarkan orang lain yang menentukan apa yang kita ingin lakukan dalam kehidupan, selagi mana, apa yang kita lakukan itu tidak menjuruskan kita kepada perkara yang tidak baik.
Selagi mana kita berusaha bersungguh-sungguh, selagi mana kita faham apa yang kita lakukan, teruskan, dan andai kita perlu berehat sejenak kerana ingin menarik nafas sedalamnya, buatlah. Bersederhana itu lebih baik, ini bukan pesanan aku secara peribadi, tetapi ajaran agama Islam yang serba baik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.eizil.com/berehat-sejenak-untuk-meneruskan-langkah-dengan-lebih-gagah/