Bengkel Hasilkan Video Pdpc Di Btpn Perak Cikgootube Bakal Trending
Baru-baru telah selesai berlangsung Bengkel Penghasilan Video Pdpc selama 3 hari di BTPN Perak. Saya sangat berterima kasih dan bersyukur diberi peluang oleh pihak Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM dalam menggalas tugas sebagai salah seorang tenaga pengajar dalam bengkel ini bersama rakan guru Cikgu Romie dan juga Cikgu Razif.
Bengkel #cikgooTUBE Hasilkan Video PdPc di BTPN Perak
Ini semua adalah rentetan daripada kepergian Tun Mahathir ke Jepun. Antara yang beliau saksikan adalah bagaimana guru-guru berkualiti di sana saling membantu guru lain menerusi penghasilan video. Maka inspirasi daripada sana di bawa balik dan cuba digerakkan di Malaysia.
Dengan hasrat penghasilan bahan 'dari guru kepada guru' maka, inisiatif ini direalisasikan. Kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi BSTP untuk menjayakan misi ini, maka Pengarah BSTP iaitu Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin sendiri yang datang menyampaikan amanat dan hasrat tersebut kepada kami semasa hari bengkel yang pertama. Dan itu lah juga yang ditegaskan oleh Encik Azemi, KPP Pembangunan Rekabentuk dari hari ke hari.
Pengarah BSTP iaitu Tuan Haji Shafruddin Ali Hussin
Bagi sesi bengkel penghasilan video ini, kami bahagikan kepada beberapa kepakaran.
Cikgu Hailmi: @cikguhailmi
Penghasilan Video aktiviti PdPc dengan menggunakan smartphone
Dengan pengalaman lebih kurang 10 tahun dalam bidang penghasilan video, dengan dimulakan dengan minat, akhirnya bertukar kepada kesungguhan untuk anak murid saya, maka saya kongsikan
beberapa tips dan teknik untuk menghasilkan video Pdpc.
Cikgu Hailmi dengan perkongsian penghasilan video PdPc menggunakan smartphone
Sudah tentulah juga disertakan dengan hands-on yang membolehkan untuk guru-guru merasai pengalaman menghasilkan video menggunakan smartphone mereka sendiri. Perkara seperti teknik kamera, gerakan, storyboard dan lain-lain sangat membantu guru supaya dapat dipertimbangkan sebelum mereka mula menghasilkan video mereka sendiri.
Cikgu Razif: @razxxf
Penghasilan Video animasi dengan menggunakan gajet iPad
Bagi sesi ini, Cikgu Razif memperkenalkan peserta dengan pelbagai apps yang berkaitan dengan penghasilan video, terutamanya video animasi. Sebagai contohnya, aplikasi Keynote dapat menghasilkan grafik dengan mudah dan akhirnya dianimasikan dengan kadar yang sangat cepat dan menarik.
Cikgu Razif dengan perkongsian penghasilan video animasi menggunakan iPad
Ini ditambah nilai dengan pengunaan aplikasi Garage Band bagi menghasilkan muzik latar yang berkaitan dan tersendiri. Terima kasih juga pihak Apple Malaysia yang meminjamkan kami 40 iPad bagi digunakan semasa bengkel. Memang terbaik!
Menakutkan! Hahahaha
Sama tak dengan gambar atas yang dilukis?
Tak puas hati so lukis balik malam tu
Cikgu Romie: @cikguromie
Penghasilan Video pengajaran dengan teknologi Green screen
Perkongsian Cikgu Romie mengenai penghasilan video menerusi teknologi green screen juga menarik. Menggunakan aplikasi percuma iaitu OBS, banyak efek boleh dihasilkan dengan menggunakan layar skrin hijau tersebut.
Cikgu Romie dengan perkongsian penghasilan video pengajaran menggunakan teknologi green screen
Sesi ini juga disertakan dengan sesi hands-on bagi memberi peluang kepada guru untuk mempraktikkan sendiri ilmu dan kemahiran yang dipelajari. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan tujuan dan keperluan video yang berbeza. Memang menarik melihat hasil kerja guru walaupun tak sampai sehari belajar.
Cikgu Romie dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang green screen
Kami sediakan pelbagai pilihan penghasilan video untuk tahap kesesuaian, Keperluan dan kemampuan guru-guru dalam nak berkarya selepas ini. Kalau bukan kita guru yang hasilkan #videoPdPc, siapa lagi?
Untuk itu, kumpulan pertama ini akan cuba jenamakan #cikgooTUBE sebagai inisiatif video yang dihasilkan oleh guru kepada guru. Kumpulan guru lain yang berminat dalam penghasilan video PdPc, boleh lah juga berhubung dengan kami, jurulatih utama bengkel ini bagi maklumat lanjut bengkel seterusnya.
Sesi Khusus
Terdapat juga dua lagi sesi khusus yang disampaikan sendiri oleh tuan KPP Pembangunan Rekabentuk, iaitu Encik Azemi. Selepas melihat kesulitan guru dalam menjayakan video pdpc menggunakan smartphone, maka pengisian berkaitan dengan penulisan skrip adalah sangat bersesuaian.
Kami diberikan pendedahan mengenai penulisan skrip yang boleh dijadikan karya. Malah jika ada kalangan guru yang boleh menghasilkan skrip yang baik, maka tak mustahil jika naskhah tersebut diangkat sebagai karya ke layar tv.
Sesi malam pula adalah pendedahan oleh Encik Izwan kepada bagaimana Youtube boleh dioptimumkan bagi menjana pendapatan sampingan kepada guru. Monetise serta tips dan teknik yang boleh digunakan untuk meraih tontonan yang lebih tinggi. Ilmu yang sangat penting, sebagai motivasi kepada kerja buat guru.
Tiga jurulatih utama bengkel #cikgooTUBE: Cikgu Hailmi, Cikgu Razid dan Cikgu Romie
Akhir kalam, semoga juga usaha murni ini dapat dijayakan sebaiknya oleh semua guru dengan sokongan penuh oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Sasaran kita adalah menghasilkan lebih ramai guru yang berkemahiran dengan penghasilan video dan juga mahu berkongsi amalan terbaik mereka dengan lebih ramai guru.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikguhailmi.com/2019/10/cikgooTUBE-trending-bengkel-video-pdpc-di-btpn-perak.html