Benarkah Kisah Kucing Boleh Bantu Tuannya Di Akhirat
Ramai bertanya, adakah benar kucing boleh membantu ownernya di akhirat nanti? Jom ikuti penjelasan di bawah
Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ada terbaca satu posting tentang kucing di media sosial, kenyataan dalam posting tersebut adalah seperti berikut: “Patutlah nabi suka kucing. Di akhirat kelak akan ada satu level khas untuk haiwan. Mereka sedang beratur menunggu giliran. Di bawahnya ada banyak manusia yang menunggu giliran untuk meniti satu titian. Apa haiwan itu buat? Mereka meminta izin pada Allah untuk menolong manusia-manusia yang pernah menolong mereka semasa hidup di dunia.”
Mohon pencerahan daripada pihak mufti, terima kasih.
Ringkasan jawapan:
Tidak ada nas dan dalil yang khusus tentang kedudukan haiwan seperti kucing di hari akhirat kelak terutama sekali dalam membantu manusia yang menolongnya semasa di dunia. Namun, umat Islam dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk seperti mana Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik kepada setiap sesuatu kerana setiap kebaikan yang dikerjakan di atas dunia ini akan dijanjikan dengan ganjaran pahala yang mungkin akan membantu kita untuk ke syurga di akhirat kelak.
Huraian jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Sesungguhnya hari akhirat ini termasuk di dalam perkara sam’iyyat iaitu perkara ghaib dan tidak dapat ditanggapi oleh akal manusia melainkan dengan adanya penerangan tentangnya daripada nas-nas al Quran dan as Sunnah. Begitu juga dengan kisah tentang hari kebangkitan yang akan berlaku nanti, telah dikhabarkan kepada kita bahawasanya setiap makhluk yang pernah hidup di atas dunia ini akan dibangkitkan di akhirat kelak untuk dihisab dan dibicarakan. Firman Allah S.W.T: (1)
يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ اللَّـهُ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا ۚ أَحْصَاهُ اللَّـهُ وَنَسُوهُ ۚ وَاللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Semasa mereka semuanya dibangkitkan (dihidupkan) semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al Mujadalah: 6)
Oleh itu, berdasarkan persoalan dan kenyataan di atas, tidak ada dalil khusus yang menyatakan bahawasanya kucing ataupun haiwan yang lain akan diberikan tempat yang khusus dan keistimewaan untuk membantu manusia di hari akhirat kelak. Sebaliknya, binatang-binatang dibangkitkan untuk memenuhi tuntutan dan hak sesama makhluk seperti mana yang telah yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W bersabda: (2)
لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ، مِنَ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ
Maksudnya: “Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak, hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.” (Riwayat Muslim: 2582, j4, h1997)
Berdasarkan riwayat tersebut, Imam Nawawi menyatakan bahawa haiwan akan dibangkitkan pada hari kiamat seperti mana bangkitnya golongan taklif (diberi tanggungjawab) iaitu golongan yang terdiri daripada anak-anak Adam dan jin. Namun, beliau menjelaskan lagi bahawa dibangkitkan haiwan bagi memenuhi hak qisas sesama haiwan tersebut seperti mana di dalam syarahnya: (3)
وَأَمَّا الْقِصَاصُ مِنَ الْقَرْنَاءِ لِلْجَلْحَاءِ فَلَيْسَ هُوَ مِنْ قِصَاصِ التكليف إذلا تَكْلِيفَ عَلَيْهَا بَلْ هُوَ قِصَاصُ مُقَابَلَةٍ
Maksudnya: “Adapun qisas bagi haiwan bertanduk terhadap haiwan tidak bartanduk bukanlah seperti qisas taklif kerana haiwan tersebut tiada pentaklifan akan tetapi bagi haiwan itu ada qisas muqabalah (balas membalas).” (Syarah Sohih Muslim: 16/136)
Walau bagaimanapun, ia bukanlah untuk menafikan kebaikan dan kelebihan dalam berbuat baik kepada binatang kerana agama Islam menuntut umatnya untuk berbuat baik terhadap semua makhluk dan setiap kebaikan yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala. Ini berdasarkan riwayat oleh Syadad Bin ‘Aus:(4)
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan untuk berbuat kepada setiap sesuatu.” (Riwayat Muslim: 1955)
Begitu juga terdapat hadis yang mana diampunkan dosa seorang wanita kerana memberi minum kepada anjing yang haus. Kisah ini dapat kita hayati melalui hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW: (5)
أَنَّ امْرَأَةً بَغِيًّا رَأَتْ كَلْبًا فِي يَوْمٍ حَارٍّ يُطِيفُ بِبِئْرٍ، قَدْ أَدْلَعَ لِسَانَهُ مِنَ الْعَطَشِ، فَنَزَعَتْ لَهُ بِمُوقِهَا فَغُفِرَ لَهَا
Maksudnya: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim: 2245)
Berdasarkan dalil dan hujah-hujah di atas, berkelakuan baik sesama makhluk akan diberikan ganjaran pahala pada hari kiamat bahkan dengan rahmat dan reda Allah SWT boleh membawa kita ke syurga melalui ihsan kita terhadap haiwan. Oleh itu, perlulah kita cermati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kelebihan sesuatu perkara supaya tidak bercanggah dengan al Quran dan as Sunnah.
The post Benarkah kisah kucing boleh bantu tuannya di akhirat? appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/benarkah-kisah-kucing-boleh-bantu-tuannya-di-akhirat/