Benarkah Kerajaan Ph Hancur Pas Hanya Isi Kekosongan
Selepas surat Presiden Pas Hj Hadi Awang memburuk-burukkan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang digambarkan mahu merampas kuasa Tun Mahathir sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), terbaru timbul pula hujah penyokong Pas yang mewajarkan tindakan pemimpin mereka menebuk atap membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mereka berhujah Pas bukan puak yang membuat konspirasi sehingga jatuhnya Tun Mahathir dari jawatan PM. Sebaliknya Pas hanya mengisi kekosongan ketika negara telah tiada kerajaan. Kononnya Tun Mahathir meletak jawatan pada 24 Februari dan selepas itu baharulah Pas bersama Umno menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai PM.
Pas tidak waras?
Bolehkah diterima dengan akal waras hujah Pas tersebut? Benarkah Pas tidak langsung mempunyai saham dalam menggulingkan kerajaan PH? Tidak pernahkah Hj Hadi bertemu Tun Mahathir? Jika begitu adakah jin beliau yang bertemu Tun pada Februari 2019?
Bukankah selepas itu Hj Hadi mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong Tun sebagai PM sekiranya berlaku sebarang situasi menggugat kepimpinannya? Pernahkah Hj Hadi melakukan sokongan seperti itu di ambang peralihan kuasa antara Tun dan Abdullah Badawi pada 2003 lalu? Mengapakah ketika peralihan kuasa kepada Anwar, Hj Hadi melahirkan sokogan sedemikian jika bukan ada niat mensabotaj?
Untuk apa Hj Hadi menyokong Tun Mahathir?
Soalan berikutnya dan sukar dijawab Pas ialah untuk apa pertemuan kedua dilakukan antara Hj Hadi dan Tun pada Januari 2020? Berikutan pertemuan itu Hadi mengumumkan sekali lagi sokongannya. Pengumuman sokongan tersebut memberi kekuatan untuk Tun berhujah peralihan kuasa perlu melalui undi di Dewan Rakyat. Sama ada ahli-ahli parlimen mahukan Anwar sebagai PM atau meneruskan khidmat Tun sehingga tamat penggal. Dari manakah Tun beroleh alasan seperti itu jika bukan berpunca sokongan Hj Hadi?
Pas munafik
Mengapakah Pas bersikap munafik dan membela kebatilan dalam hal menegakkan benang basah kononnya mereka tidak merampas kuasa? Kononnya peranan mereka muncul hanya selepas negara terumbang ambing dan menjadi hero menyelamatkan keadaan agar negara tidak terus ditunggang DAP.
Benarkah alasan itu? Bukankah dengan bekerjasama dengan MCA dalam BN, Pas juga menghadapi puak Cina anti-Islam yang lebih buruk daripada DAP? Belum pun dua minggu kabinet Muhyiddin dibentuk, Presiden MCA Wee Ka Siong memberi amaran kerajaan PN tidak boleh disebut sebagai kerajaan Islam. Anehnya, tiada ada seorang pun pemimpin tertinggi Pas yang membantah ucapan Wee itu.
Bukankah Hj Hadi dan Pas yang bekerjasama dengan MCA telah mengetahui sejak berdekad lamanya MCA anti Islam. Tetapi mengapakah Pas tetap mahu bersama dalam satu kerajaan? Bukankah lebih baik mereka tidak menyokong PN sebagaimana mereka tidak menyokong PH kerana wujud DAP di dalamnya?
Pas tidak ada hujah dalam hal mempertahankan tindakannya bersama dalam kerajaan PN kecuali mereka mengakui mengamalkan falsafah sekular Maciaville, ‘matlamat menghalalkan cara’. Oleh itu, tidak perlulah Pas mereka-cipta pelbagai alasan atau malah memfitnah pula Anwar yang kononnya mahu menjatuhkan pentadbiran Tun Mahathir.
Sebagai parti yang kononnya dikuasai ulama, Pas sepatutnya menunjukkan akhlak yang baik. Jika mereka terlanjur melakukan kesalahan dengan bersubahat bersama Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin menjatuhkan Tun dan mempermainkan mandat rakyat maka lebih baik mereka diam dan menjalankan tugas menteri atau parti kerajaan sebagaimana selayaknya.
Penafian dan malah memaki orang lain sebagai tidak islamik atau kafir kerana mengkritik tindak tanjuk Pas adalah kerja paling bodoh yang dilakukan oleh ahli politik berimej Islam. Sejarah akan menulis Pas dengan tinta hitam dan bobrok tidak sebagaimana yang diimpikan oleh tokoh-tokoh terkenal parti itu yang mengamalkan politik bersih seperti Almarhum Nik Aziz Nik Mat dan Fadzil Noor.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/27045