Belum Pasti Bila Masjid Surau Kembali Dibuka
M Fakhrull Halim   Tarikh untuk masjid dan surau kembali dibuka untuk kegiatan keagamaan nampaknya masih belum jelas buat masa ini.
Ini  kerana garis panduan berkenaan tatacara ibadah di masjid dan surau bagi  mengelakkan penularan wabak Covid-19, belum dimuktamadkan.
Mufti  Johor Yahya Ahmad berkata, soal garis panduan itu akan dibawa dalam  mesyuarat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama para mufti  yang dijadual berlangsung hari ini.
"Garis panduan masih pada  Jakim, belum muktamad lagi. Dalam mesyuarat ini, Jakim akan kemukakannya  kepada kita untuk disahkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Meskipun  telah dibentangkan sebelum ini, beliau berkata pihak berkuasa negeri  ada memberikan beberapa cadangan pindaan serta penambahbaikan.
Yahya AhmadPada  4 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad  memaklumkan masjid dan surau mungkin akan dibuka semula dalam waktu  terdekat, bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata ia jika  pihak berkuasa berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan  surau, serta kerjasama rakyat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan  bersyarat (PKPB).
Kata bekas mufti Wilayah Persekutuan itu lagi,  garis panduan itu dirangka oleh pejabatnya dan Jakim, dan telah  dibentangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugarna Islam Malaysia (MKI) Keempat pada 30  April lalu.
Sementara itu, Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad  berkata, segala perincian tambahan dalam garis panduan itu hanya akan  dibuat setelah mendapat maklum balas KKM dan MKN.
Menegaskan  bahawa Islam mengutamakan rujukan pakar sebelum membuat keputusan,  beliau berkata mesyuarat sebelum ini diadakan sebelum KKM dan MKN  memberikan respons berkenaannya.
“Dalam hal Covid-19 ini, kita mengiktiraf KKM. Jadi apa-apa yang diputuskan KKM (berkenaan garis panduan), kita akan akur.
“Esok  (hari ini) mungkin menteri sudah ada dapat maklumat daripada KKM dan  MKN, (maka) dia akan bawa mesej itu dan kita akan bincang,” katanya yang  memaklumkan mesyuarat itu akan dibuat menerusi Skype.
'Sembahyang Jumaat ketika PKPB'
Menurut  Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor pula, antara perkara yang  akan dibincangkan dalam mesyuarat itu berkenaan kebenaran untuk  mengadakan sembahyang Jumaat, susulan kelonggaran perintah kawalan  pergerakan sejak Isnin lalu.
Ia merangkumi soal tatacara ibadah  yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelumnya, misalnya kebenaran untuk  melakukannya di zon hijau serta kemungkinan sembahyang Jumaat - iaitu  khutbah dan sembahyang berjemaah - diringkaskan serta dipendekkan masa  pelaksanannya.
Wan SalimSelain  itu, kata Wan Salim lagi, langkah-langkah pencegahan seperti  pemeriksaan suhu badan, penyediaan pembersih tangan, serta mereka yang  dibenarkan serta dilarang untuk hadir ke masjid, juga akan dibangkitkan.
Susulan  pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu, sebarang kegiatan keagamaan di rumah  ibadat dilarang kecuali jika ia hanya melibatkan bilangan orang yang  terhad, seperti yang ditetapkan kerajaan.
Ia termasuklah solat Jumaat, solat tarawih, dan solat berjemaah yang lain.
Dengan  penguatkuasaan PKPB, kebanyakan kegiatan ekonomi dan sosial kembali  dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang  ditetapkan KKM. Bagaimanapun kegiatan yang membabitkan sentuhan badan  dan kesukaran mengekalkan penjarakan sosial masih dilarang.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/belum-pasti-bila-masjid-surau-kembali.html