Belanjawan 2019 Risau Untuk Para Nelayan Dan Juga Petani
BELANJAWAN 2019 yang dibentangkan pada Jumaat lalu pada dasarnya adalah suatu belanjawan yang baik pada keseluruhannya namun tetap mempunyai beberapa kelemahan kepada golongan-golongan tertentu seperti rakyat luar bandar, nelayan dan petani.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memuji kaedah pemberian bantuan sara hidup yang akan mengambil kira bilangan ahli isi rumah, gaji minimum yang ditingkatkan, usaha mengurangkan pekerja asing melalui levi, keperluan syarikat tersenarai untuk menerbitkan statistik gaji dan juga kad pengangkutan awam tanpa had untuk hanya RM100 sebulan.
Namun, Belanjawan 2019 tidak wajar dianggap sebagai sempurna kerana banyak kumpulan yang dikhuatiri telah terpinggir dan juga kerana falsafah pasaran bebas tanpa batasan yang dilaungkan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.
MTEM tidak bersetuju dengan kenyataan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerajaan yang terbaik tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perniagaan dan ini seolah-olah menandakan niat beliau untuk akhirnya melepaskan pegangan Kerajaan di perniagaan yang dimilikinya. Jika ini terjadi, suatu alat kemajuan ekonomi bumiputera yang paling berkesan akan hilang buat selamanya.
MTEM juga kecewa dengan peruntukan kecil yang disediakan untuk agenda ekonomi bumiputera. Dalam ucapan yang berlangsung selama lebih 2 jam, Lim Guan Eng hanya menyebut perkataan bumiputera sebanyak 6 kali dan jumlah peruntukan untuk agenda bumiputera hanya kira-kira RM3.6 bilion daripada jumlah besar Belanjawan 2019 sebanyak RM314.5 bilion.
MTEM bimbang agenda ekonomi bumiputera tidak akan diberi perhatian yang secukupnya walaupun pada tahap nasional, Belanjawan 2019 boleh dianggap sebagai suatu yang positif kerana kebanyakan bumiputera akan mendapat kesan yang positif hasil belanjawan yang menumpukan kepada golongan B40.
Isu keselamatan dan kedaulatan makanan yang telah lama diperjuangkan MTEM tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Tiada gerakan padu untuk mewujudkan kembali Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) walaupun MTEM dan Padi Rescue telah memberi hujah akan kepentingan LPN kepada keselamatan bekalan makanan negara.
Peruntukan kerajaan untuk sektor pertanian dan perikanan tertumpu kepada pembangunan industri seperti penyelidikan untuk benih, automasi dan latihan industri yang tidak memanfaatkan petani dan nelayan secara terus.
Walaupun niat dan rancangan kerajaan adalah murni, tidak harus dilupakan kebajikan petani dan nelayan yang memerlukan perhatian segera dengan adanya ‘social safety net’. Sebagai contoh, bantuan untuk petani sebanyak RM200 sebulan sementara menunggu musim menuai tidak disambung. Jelas sekali, sektor pertanian dan perikanan bukanlah keutamaan bagi kerajaan.
Masih bukan terlambat bagi kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah untuk membetulkan hala tuju yang agak menyimpang dari kepentingan bumiputera, nelayan dan petani. Kebanyakan butiran yang terkandung di dalam Belanjawan 2019 adalah positif namun diharap agar rakyat tidak perlu menunggu hingga Belanjawan 2020 untuk belanjawan yang lebih sempurna. #sumber
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MTEM.
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2018/11/belanjawan-2019-risau-untuk-para.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29