Bedah Siasat Buktikan Punca Kematian Zayn Rayyan
Kes tragis melibatkan adik Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, terus membuka mata rakyat Malaysia. Terbaru, hasil bedah siasat mendedahkan punca sebenar kematiannya bukan akibat lemas, tetapi disebabkan jerutan di leher.
Maklumat tersebut disahkan oleh Dr Rohayu Shahar Adnan, Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang yang menjalankan bedah siasat ke atas jasad Zayn Rayyan pada 7 Disember 2023 di Hospital Sungai Buloh.
Menurut Dr Rohayu, kesan jerutan yang dijumpai pada tubuh mangsa berkemungkinan besar berpunca daripada penggunaan objek seperti tali, kain atau lanyard yang dipintal dengan kuat sehingga menyekat oksigen ke otak dan paru-paru.
“Terdapat kesan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid, jelas menunjukkan jerutan yang kuat hingga membawa maut,” katanya dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Selain itu, kesan lebam sepanjang enam sentimeter ditemui di bawah kedua-dua telinga mangsa. Pemeriksaan turut mendapati pelbagai kesan kecederaan lain termasuk lebam pada wajah, kepala, bahu, dada, abdomen serta lengan kanan dan kiri.
Paling menyedihkan, terdapat juga luka koyakan dan kesan lelasan pada bahagian dubur, dipercayai akibat kemasukan objek tumpul walaupun kecederaan ini tidak menyebabkan kematian.
Lebih mengejutkan, antara kecederaan lain yang ditemui termasuk potongan, tikaman dan hirisan di bahagian telinga, kepala dan lengan, sekaligus menunjukkan unsur penderaan fizikal yang jelas terhadap Zayn Rayyan.
Bedah siasat juga menemui objek asing di salur pernafasan dan perut, dengan lebam pada lelangit mulut yang memperkukuh kemungkinan objek dimasukkan secara paksa.
Walaupun terdapat kedutan pada tapak tangan dan kaki, Dr Rohayu menegaskan tiada bukti menunjukkan Zayn mati akibat lemas tiada air dalam paru-paru, tiada tanda-tanda tenggelam.
Dalam prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh, ibu bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 30 tahun telah didakwa atas tuduhan mengabaikan anak mereka hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Sumber: Harian Metro & Mstar
The post Bedah Siasat Buktikan Punca Kematian Zayn Rayyan appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/bedah-siasat-buktikan-punca-kematian-zayn-rayyan/