Bayi 50 Hari Parah Diserang Kera Tunggal
Bayi 50 hari parah selepas digigit kera tunggal jantan di Pulau Pinang.PETALING JAYA: Bayi berusia 50 hari cedera di kepala, perut dan pipi akibat digigit seekor kera tunggal pada 9 Jan lalu, yang turut menyebabkannya menjalani pembedahan kecil di bahagian usus di Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian bapa mangsa tidak berada di rumah, manakala ibunya ke dapur untuk membuat susu dan neneknya pula sedang memasak di dapur.
“Mangsa yang baru saja bangun tidur sedang menangis dan ditinggalkan sendirian di ruang tamu. Mangsa yang dibaringkan di atas tilam hanya memakai baju dan lampin pakai buang dengan menghadap pintu hadapan rumah.
“Turut dimaklumkan oleh isterinya, semasa bayi ditinggalkan tingkap nako sudah ditutup rapat dan kunci pintu hadapan sudah ditolak di bahagian atas sahaja kerana difikirkan memadai,” katanya dalam kenyataan.
Noorzainy berkata, ketika masih di dapur ibu bayi itu terdengar mangsa menangis semakin kuat dan wanita berkenaan segera ke ruang tamu. Ketika itu, didapati mangsa berada atas lantai simen dengen pergerakan lebih kurang 1m dari tilam bayi.
Katanya, keadaan mangsa ketika itu sudah berlumuran darah dan pada masa sama, ibunya nampak seekor kera jantan besar sedang menunggu di hadapan pintu.
“Selepas ibu mangsa mendukungnya, kera tersebut terus beredar.
“Pemeriksaan dibuat pada mangsa dan mendapati mangsa digigit di pipi kanan, belakang kepala dan perut sehingga nampak pergerakan usus. Bapa mangsa terus membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan,” katanya.
Noorzainy berkata, bapa mangsa memaklumkan kera itu kerap bergerak di kawasan rumah dan jirannya untuk menyelongkar dapur kerana kelaparan.
“Ini adalah serangan pertama yang mendatangkan kecederaan parah kepada manusia.
“Setakat ini penduduk tidak berkeras menghalau kera yang mengganggu ini, hanya menghalau dengan berteriak sahaja. Penduduk juga masih belum minta bantuan Jabatan Perhilitan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk menangkap, mengusir atau menghapuskan haiwan ini,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/01/bayi-50-hari-parah-diserang-kera-tunggal.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians