Bayi 15 Bulan Didera Hingga Maut Ibu Kandung Teman Lelaki Ditahan
Allahuakbar… luluh hati bila dengar kisah begini. Bayi perempuan yang baru berusia 15 bulan, dipercayai menjadi mangsa dera sehingga meninggal dunia di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, Melaka, malam tadi.
Lebih menyedihkan, si kecil yang tidak berdosa itu dipercayai didera oleh insan yang sepatutnya menjadi pelindung utama dalam hidupnya iaitu ibu kandung sendiri dan teman lelaki ibunya.
Kesan Lebam & Luka Di Tubuh Kecil Bayi
Menurut maklumat awal, kejadian terbongkar selepas pihak Hospital Tampin menerima bayi berkenaan yang tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam, dihantar sendiri oleh ibu kandungnya yang berusia 24 tahun.
Gambar Hiasan AI
Namun, si kecil itu sudah tidak bernyawa. Hasil pemeriksaan doktor mendapati kesan lebam jelas kelihatan pada perut, belakang badan, serta kecederaan serius pada bahagian lubang dubur bayi tersebut. Keadaan itu menimbulkan syak berlakunya penderaan ke atas mangsa.
Tinggal Bayi Dengan Teman Lelaki, Balik Hanya Tubuh Kaku
Difahamkan, wanita itu membawa anak tunggalnya dari Kampung Anak Air Durian Daun Pondoi, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya yang berusia 20 tahun di Bandar Satelit sekitar 6.30 petang semalam.
Sewaktu berada di premis kedai, wanita itu meninggalkan bayi kecilnya bersama teman lelakinya kononnya untuk membeli makanan. Ketika kembali semula, dia memberitahu bahawa bayi itu sudah ditidurkan sekitar jam 10 malam, manakala teman lelakinya sibuk menguruskan kedai.
Namun, kira-kira jam 10.30 malam, ibu muda itu mendapati anaknya tidak sedarkan diri ketika cuba mengejutkannya untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.
Tanpa berlengah, pasangan tersebut membawa bayi itu ke Hospital Tampin. Malangnya, doktor yang merawat mengesahkan bayi berkenaan telah pun meninggal dunia.
Polis Sahkan Siasatan, Pasangan Direman
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong mengesahkan menerima laporan kejadian menyayat hati ini.
Menurut beliau, pasangan kekasih terbabit akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pa&Ma ingin mengingatkan, anak kecil adalah amanah paling besar dari Allah SWT. Dalam usia setahun lebih, mereka masih tak tahu apa-apa, hanya mampu menangis dan bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa.
Semoga kejadian tragis ini menjadi pengajaran buat kita semua agar lebih cakna, lebih prihatin dan lebih sayangkan anak-anak kita.
Al-Fatihah buat arwah bayi kecil ini. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan insan-insan yang dikasihi Allah SWT.
Sumber: Harian Metro
The post Bayi 15 Bulan Didera Hingga Maut, Ibu Kandung & Teman Lelaki Ditahan! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/bayi-15-bulan-didera-hingga-maut-ibu-kandung-teman-lelaki-ditahan/