Bayaran Parkir Lagi Penting Sentimen Agama Kaum Tak Laku Di Kkb
Penduduk merasakan pihak berkuasa tempatan perlu mengkaji pelaksanaan bayaran parkir dengan menetapkan lokasi tumpuan sahaja dikenakan caj di Kuala Kubu Baharu.HULU SELANGOR: Sentimen agama dan perkauman tidak memberi kesan kepada pengundi Kuala Kubu Baharu yang akan memilih wakil rakyat 11 Mei ini kerana isu dekat dengan kehidupan seharian seperti bayaran parkir di kawasan berkenaan lebih penting bagi mereka.
Penduduk merasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengkaji pelaksanaan bayaran tempat letak kenderaan dengan menetapkan lokasi tumpuan sahaja dikenakan caj di bandar warisan itu.
Mohd Amaltulrahman Mohd Nordin, 39, tidak menolak pembangunan malah setuju tempat meletakkan kenderaan berbayar di kawasan tumpuan atau di tengah bandar.
“Tetapi bagi kawasan jauh (pinggir bandar)…yang (penduduk) terpaksa berjalan jauh (untuk ke kedai atau berurusan) tidak perlulah dikenakan bayaran,” katanya kepada FMT.
Mohd Amaltulrahman Mohd Nordin.Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mula melaksanakan sistem bayaran tempat letak kenderaan pintar melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) dan Flexi Parking di kawasan seliaannya sejak Disember tahun lalu.
Caj parkir dikenakan adalah 50 sen bagi setiap jam bermula 8 pagi hingga 5 petang dan RM50 untuk sebulan manakala hujung minggu serta hari kelepasan am percuma.
“Memanglah dikatakan paling murah (50 sen) tetapi lambat laun mesti akan naik,” kata Amaltulrahman.
Katanya, ada juga segelintir golongan khususnya warga emas yang tidak celik teknologi sekali gus menyusahkan mereka untuk membuat bayaran melalui aplikasi itu.
Pemilik restoran India Muslim, Sulaiman Daud, 62, berkata MPHS mampu menampung penyelenggaraan di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu walaupun tanpa mengutip bayaran parkir.
Katanya, pekan itu “bukanlah besar sangat” sehingga mewajarkan PBT mengutip bayaran tempat letak kenderaan.
“Kereta tak banyak mana pun, tak perlu caj. (PBT) boleh dapatkan dana daripada cukai lain…kutipan cukai tanah, cukai pintu. Saya rasa cukup untuk penyelenggaraan pekan ini. Nampak sejak dikenakan bayaran (parkir) macam kurang orang datang,” katanya.
Parti tak penting
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan selepas penyandang tiga penggal daripada DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac akibat barah.
Seramai 40,226 orang layak mengundi dengan pecahan 50% pengundi Melayu, Cina (30%) dan India (18%). Penamaan calon akan diadakan pada 27 April manakala undi awal 7 Mei.
Dalam pada itu, pesara hanya mahu dikenali Azlan, 60, cenderung memilih calon berkaliber berbanding parti atau mengundi semata-mata berdasarkan sentimen serta isu.
“Kita tengok calon boleh bekerja, bagi saya parti tak penting. Penyandang sebelum ini beri tumpuan kepada pendidikan. Kita nampak pekan diindahkan. Ada perpustakaan besar,” katanya.
Azlan meminta pengundi memilih calon yang boleh berkhidmat, mendengar rintihan dan keperluan masyarakat serta menjaga kebajikan mereka.
Sementara itu, Warga emas hanya mahu dikenali “uncle Tan” berpandangan status quo kekal di Kuala Kubu Baharu pada PRK bulan depan.
Katanya, PH dengan bantuan Umno dijangka mengekalkan kemenangan di kerusi DUN bawah Parlimen Hulu Selangor itu.
“Umno pun sekarang dalam PH. (Letak) Calon Melayu, pun boleh. Kita tengok logo sahaja bukan undi orang (calon). Sekarang semua undi logo, mana ada undi orang lagi,” katanya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/04/bayaran-parkir-lagi-penting-sentimen.html