Barangkali Universiti Tidak Memerlukan Pendeta
Kepada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Adapun Tuanku dan Tunku itu bersemadi di jiwa. Puji itu bagi Tuhan yang memenuhkan segala hati muhibbin dengan asywaq, dan selawat atas Nabi dan keluarganya yang mempunyai makarimul akhlak. Mempermaklumkan kepada hadrat Tuanku dan Tunku dengan hazihil wariqah, supaya jadi ganti kita datang ziarah dan mu’anaqah al mawaddah lagi musaafahah al-mahabbah. Serta merenung kepada anwar wajah Tuanku dan Tunku yang mempunyai bashashah dan ibtisam.
Adapun pada hemat kita yang tidak penting ini, universiti itu tidak memerlukan pendeta; atau tukang syarah iktisad berbuih di mulutnya; mahaguru ulung alang lalang kepalang, dan segala alim dalam bidang didik asuh seibarat lipas; atau sekian mereka yang sunyi sepi di kala puaka dan petaka datang menyerang.
Universiti itu adapun Tuanku dan Tunku Besar yang memiliki budi yang jamilah, kerana inilah waraqah mardhiyah yang dihiasi dengan semulia-mulia tahiyah kepada hadrat bahjah al-aiyam wa al-layali. Wa faridah durari taj al-ma’ali; adalah universiti itu memerlukan pengendali dan pengendala yang jernih. Ia itu cermat dan rapi ingin berkhidmat kepada watan dan umatnya. Tiada dia itu membina puak parti-partian, kartel-kartelan, sekutu-kutuan, dan adalah dia itu sebaiknya seorang yang diam berbuat kerja ilmu. Biarlah dia tidak tua kutuk, muda lela kalau bersih sungguhlah terpuji.
Ampun Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Adapun bagi Tuhan yang menaruhkan dalam hati ini rindu dendam kepada kita. Dan selawat atas Nabi-Nya dan keluarganya ahlil khair wal ihsan. Bahawasanya inilah shahifah al mahabah wa ada-u haqqit ta’aruf was shuhbah, daripada faqir ila ‘afwi rabbihir ridhwani Faisal Tehrani ada akar susur galur sebelah Tampin dan Simpang Ampatnya, maka diperhadapkan dengan taslimat yang faiqah. Dan tahiyat yang raiqah.
Adapun universiti sebagai gading semenara, semenaranya gading memerlukan calon terbaik tiada dia terkait terpalit. Bukan sahaja ia itu mesti kedengaran bersih, terlihat bersih tetapi seboleh-boleh memanglah ia bersih. Maka biarlah yang benar mahu berbuat kebajikan itu berlumba terbuka untuk dipilih yang terbaik antara mereka.
Ampun Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz. Sebelumnya pernah ada yang tersingkir padahal semenggah, lantaran segala cekcok dan najis siasah. Segala kebaikan bagi Tuhan yang melindungi jelata hamba itu naung rahmat-Nya fi ardhihi. Dan selawat-Nya atas kekasih-Nya dan ujan kemurahan-Nya wa bahru faidhi, dan keluarganya humah al Islam dan tolannya yang betul-betul elok dengan hudah al-anam. Inilah shahifah al-khudhu’ wa al-ibtihal yang mengisyaratkan dengan ajal at-tahiyah wa al-ijlal. Ke bawah daulat mempunyai jamiah ilmu yang azim. Dan hati yang rahim. Dan kebajikan yang jazil. Dan sebutan yang jamil. Fajr al muluk wa as-salatin, wa zillullahi Ta’ala fi al ‘alamin. Diangkatkan Allah Taala akan darajat pemuka universiti yang ‘alad dawam selagi berpegang kepada adat.
Dan sentiasa ia jabhatul muluk wa bahjatul Islam. Dikekalkan Allah Taala untuk Tuanku dan Tunku Besar di dalam kerajaan yang ‘ali. Dan dilanjutkan zamannya di dalam kesenangan yang hani. Seperti mana dinukil nenda moyang kita, bahawa adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, kuat hukum tak gaduh adat, syarak mengata adat memakai, kewi kata syarak, lazim kata adat, adat bertanda, hukum bersaksi; adat yang berjinjang naik, bertangga turun, sepenakik pisau nan seraut, ambil galah batang lintabung, air nan setitik dijadikan lautan, tanah nan sekepal dijadi gunung, alam nan terbentang dijadi guru, politisuh puaka diberi ingat, sarjanawan malakuti diberi tempat.
Wa ba’du, ampun Tuanku dan Tunku beribu ampun, sembah kita harap diampun. Sudah tibalah khabar satu ketika kepada kita di rantau orang akan satu detik konon ada perinya Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam, tiada kita mengetahui apa berlaku kepadanya, sehingga serasa nista segala telagah dan cekcok kartel melobi-lobi berkhabar angin sana sini menimbul jengkel sampai ke penghujung benua.
Sungguh bahagia di universiti itu kerana Tuhan yang menjadikan ridha wad din itu jalan bagi sa’adah. Dan selawat atas Nabi dan alinya yang menyukakan dengan husna wa ziyadah. Inilah shahifah at-tazallul wa al-ibtihal yang menanggungkan tuhaf anahaya wa al-ijlal. Dirafakkan sembah ke bawah hadrat ‘aliyah al-maqam al-Mahjubah bi hujub al-Jalal wa al-ihtisyam, Durrah al-mulki wa ad-daulah al-fakhirah, sa’idah ad-dun-ya- wa al-akhirah.
Puji itu bagi Tuhan yang memenuhkan segala hati muhibbin dengan asywaq. Dan selawat atas Nabi dan keluarganya yang mempunyai makarimul akhlak. Adapun Tuanku dan Tunku Besar itu datang dari keluarga memimpin universiti belaka. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud itu selaku Tuanku Canselor di Usim, manakala Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir itu sungguh damai sebagai canselor dengan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz sebagai pro canselor. Segala ilmu penuh barakah dan kepimpinan penuh hemah sepertinya-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz di IDEAS maka segala susur galur itu bergelumang dengan ilmu jua.
Tentulah ke hadrat Tuanku dan Tunku Besar ambil maklum jua bahawa universiti itu tiada berkehendakkan pendeta; atau tukang syarah iktisad berbuih di mulutnya; mahaguru ulung alang lalang kepalang, dan segala alim dalam bidang didik asuh seibarat kerengga; atau sekian mereka yang sunyi sepi di kala puaka dan petaka datang menyerang. Yang dihajati itu adalah perapi dan pembersih yang dapat ia menyusun universiti.
Moga dapatlah universiti ini seorang Melayu beradat yang menghormati sekian jelata Melayu dan bukan Melayu yang berkeinginan akan kebaikan atas bawah. Bahawasanya inilah shahifah al-mahabbah wa ada-u haqqit ta’aruf was shuhbah. Daripada faqir ila ‘afwi rabbihir ridhwani. Janab Tuanku dan Tunku Besar yang kita amat hormati lagi kukuh duduknya berselimpuh di jiwa yang atma.
Puji itu bagi Tuhan yang memenuhkan segala hati muhibbin dengan asywaq. Dan selawat atas Nabi dan keluarganya yang mempunyai makarimul akhlak. Mempermaklumkan kepada hadrat Tuanku dan Tunku Besar dengan hazihil wariqah supaya jadi ganti kita peluk cium sembah hadap dan mu’anaqah al-mawaddah lagi musaafahah al-mahhabah. Dan bersahut-sahut khitab kemudian daripada ada’ marasim al-ijlal. Serta merenung kepada anwar wajah segala pembesar adat yang mempunyai bashashah dan ibtisam. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/barangkali-universiti-tidak-memerlukan.html