Banjir Kilat Tanah Runtuh Landa Pantai Barat Sabah
APM Sabah menjalankan pemantauan di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran yang dilanda banjir kilat. (Bernama pic)KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di pantai barat Sabah dilanda banjir kilat, tanah runtuh dan tanah mendap akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam lewat petang ini.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah ketika dihubungi memberitahu, pemantauan dijalankan di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran yang dilanda banjir kilat, antaranya Likas, Penampang, Menggatal, Tebobon, Kolombong, Telipok, Rugading dan Gayang.
Tinjauan dijalankan mendapati beberapa jalan turut dilanda banjir kilat dan masih mengakibatkan kesesakan teruk sehingga malam ini, termasuk Jalan Tuaran Bypass, Jalan Universiti Malaysia Sabah, Jalan Kibabaig Penampang, Jalan Likas, Jalan Menggatal dan Jalan Kayu Madang.
“Cuaca masih hujan di beberapa kawasan malam ini, tetapi tidak lebat seperti petang tadi, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati kerana masih lagi ada jalan yang ditenggelami banjir kilat.
“Setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini melibatkan orang ramai yang diterima,” katanya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tanah runtuh petang ini di Skim Penempatan Telipok, Tuaran akibat hujan lebat berterusan.
Beliau berkata, laporan diterima pada 3.41 petang tadi dan pihaknya mendapati dua rumah kediaman jenis tidak kekal telah musnah akibat bencana tersebut.
Tiada mangsa terlibat, dan setelah didapati tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 5.25 petang, tambahnya.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan satu kejadian tanah mendap dikesan di kawasan Telupid akibat hujan lebat petang ini, mengakibatkan sebahagian Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dekat Kampung Lumou tidak dapat dilalui kenderaan.
“Tanah mendap itu juga mengakibatkan pembentung jalan beralih tempat. Kerja pembaikan, antaranya pemasangan pembentung sementara sedang dijalankan.
“Jalan itu hanya boleh dilalui satu lorong masa ini dan tiada jalan alternatif untuk laluan itu,” katanya.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di perairan barat Sabah dan utara Sarawak selama tiga hari, namun ia diramal bermula esok.
Berdasarkan ramalan cuaca signifikan itu, keadaan itu diramal berlaku berikutan satu sistem tekanan rendah dijangka terbentuk di barat Filipina dan bergerak ke arah barat laut menuju ke selatan China. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/07/banjir-kilat-tanah-runtuh-landa-pantai.html