Bani Israel Menjadi Kera
AKU BUKAN MONYET
(Tazkirah 22 Ramadhan Surau Al Muhajirin BB4)
Sekumpulan Bani Israel diduga Allah swt; dibenarkan menangkap ikan kecuali pada hari Sabtu menerusi Surah Al-A’araf ayat 163 yang bermaksud :
“Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik”.
Hari Sabtu dikhususkan untuk beribadah kepada Allah swt. Adakah mereka ini benar-benar melanggar perintah daripada Allah swt. Maka didatangkan sekumpulan pendakwah dari kalangan mereka sendiri untuk menyeru mereka kepada melakukan kebaikan serta meninggalkan segala larangan Allah swt.
Menurut kisah pada ayat 164 surah Al-A’raaf yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?’ Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”.
Namun, golongan Bani Israel yang degil ini terus-terusan melakukan dosa. Kehadiran pendakwah ini dikeji dan dicaci oleh kelompok lain. Menerusi ayat di dalam Surah Al-A’raaf ini Allah swt menyatakan wujud 3 golongan daripada penduduk Bani Israel ini.
Pertama,
Kumpulan pendosa pada hari Sabtu.
Kedua
Allah swt mendatangkan sekumpulan pendakwah untuk menasihati mereka.
Ketiga
Golongan yang tidak melakukan dosa tetapi menghalang kerja dan mengutuk kerja dakwah golongan kedua serta membiarkan kemungkaran ini berlaku.
Allah swt menyelamatkan golongan pedakwah; menurunkan azab yang dirakamkan menerusi ayat 165 & 166 Surah Al-A’raaf:
“Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka)”.
(Surah Al-A’raaf, 165)
“Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil endah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: – Jadilah kamu kera yang hina”.
(Surah Al-A’raaf, 166).
Allah swt menjadikan mereka kera yang hina kerana mereka yang tidak menghalang kemungkaran daripada berlaku serta meremehkan usaha dakwah orang lain.
Allahu’alam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://faizsaaid.com/bani-israel-menjadi-kera/