Bandar Ini Tidak Akan Lihat Matahari Selama 64 Hari
Bandar “Ini” Tidak Akan Lihat Matahari Selama 64 Hari
Sebuah bandar di Amerika Syarikat (AS) bakal memasuki tempoh gelap berpanjangan, lapor NDTV.
Utqiagvik, dahulu dikenali sebagai Barrow, terletak di North Slope Alaska berhampiran Lautan Artik dan merupakan penempatan paling utara di AS. Kira-kira 4,400 penduduk menetap di bandar yang terkenal dengan cuacanya yang ekstrem ini.
Menurut NDTV, penduduk Utqiagvik kini sedang mengucapkan selamat tinggal kepada matahari selama 64 hari. Tempoh ini menandakan bermulanya fenomena tahunan yang dikenali sebagai Polar Night atau Malam Kutub.
Menurut laporan, matahari dijangka terbit semula pada 1:23 petang (waktu tempatan) pada 26 Januari 2026, sekali gus menamatkan tempoh Malam Kutub pada tahun tersebut.
Bagaimanapun, meski berada dalam tempoh ‘gelap’, bandar itu tidak akan berada dalam kegelapan sepenuhnya.
Penduduk masih dapat melihat beberapa jam cahaya senja kutub (civil twilight), cahaya kebiruan yang muncul sebelum waktu subuh, tambah NDTV.
Fenomena disebabkan kecondongan bumi
Malam Kutub berlaku apabila matahari kekal berada di bawah ufuk selama kira-kira dua bulan setiap tahun. Keadaan ini terjadi kerana bumi condong sebanyak 23.5 darjah pada paksinya.
Disebabkan ini, kawasan yang berada dalam lingkungan 23.5 darjah dari Kutub Utara tidak menerima sinaran matahari ketika menghampiri solstis musim sejuk.
Utqiagvik yang terletak pada latitud 71.17 darjah utara berada jauh di dalam Lingkaran Artik, menjadikan fenomena ini berlaku dengan lebih ketara di bandar tersebut.
Di bandar ini, satu daripada empat hari dalam setahun tidak mencatatkan suhu melebihi sifar darjah Celsius.
Musim panas tanpa malam
Walaupun musim sejuk menyaksikan lebih 60 hari tanpa matahari, musim panas di Utqiagvik pula sebaliknya. Penduduk menikmati hampir tiga bulan cahaya matahari tanpa henti, dikenali sebagai “Midnight Sun”.
Masyarakat di bandar ini telah lama menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang ekstrem. Malah, bandar ini turut menjadi rumah kepada pasukan bola sepak paling utara di Amerika, yang beraksi di Barrow High School.
Kesan terhadap suhu & iklim
Ketiadaan matahari sepanjang tempoh Malam Kutub menyebabkan suhu di Utqiagvik turun lebih rendah daripada biasa kerana tiada haba dari cahaya siang.
Fenomena ini juga memainkan peranan penting dalam pembentukan pusaran kutub (polar vortex), pusaran udara sangat sejuk di atas Kutub Utara yang mempengaruhi cuaca di seluruh Hemisfera Utara.
Kadangkala, udara sejuk daripada pusaran ini boleh bergerak ke selatan dan menjejaskan cuaca di kawasan lain di AS.
BACA: 5 Benda Di Rumah Anda Yang Suka ‘Memanggil’ Ular
Sumber: NDTV, NY Post
The post Bandar “Ini” Tidak Akan Lihat Matahari Selama 64 Hari appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/11/24/bandar-ini-tidak-akan-lihat-matahari-selama-64-hari/