Balasan Membazir Makanan
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengurus sampah makanan 4 kali ganda lebih banyak dari hari biasa di bulan Ramadan". Keadaan ini jelas bertentangan dengan konsep Ramadan yang bertujuan mendidik jiwa menjadi takwa agar melakukan perkara yang disuruh dan menjauhkan perkara yang ditegah.
Membazir dan berlebih-lebihan adalah perkara yang ditegah oleh agama. Mengapakah umat Islam di Malaysia melakukan perkara yang ditegah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan?
Jika nak salahkan syaitan, mereka sedang dirantai pada bulan Ramadan, maka makhluk yang sebenarnya bersalah adalah diri kita sendiri.
Ibadat puasa sepatutnya melatih jadi lebih sabar dan merasai bagaimana penderitaan ditanggung oleh mereka yang mengalami masalah kekurangan makanan. Malangnya, rakyat Malaysia menjadikan Ramadan pesta makanan. Bermula dari berbuka puasa hingga bersahur.
Bazar Ramadan dipenuhi orang ramai seawal pukul tiga petang. Peniaga tidak lepas peluang untuk menyediakan pelbagai juadah yang jarang dijumpai pada masa lain. Selera orang berpuasa agak pelik dan tidak terdidik dengan amalan berpuasa.
Selepas waktu berbuka yang sepatutnya masing-masing menuju ke masjid untuk bersembahyang sunat tarawih, sebaliknya ramai yang berduyung-duyung ke kedai atau gerai makanan.
Makanan semasa berbuka belum hadam sepenuhnya, perut hendak diisi lagi. Bahkan, makanan berbuka masih ada lagi dan bakal dibuang begitu saja. Sebab itu, ada orang menjadi lebih gemuk pada bulan Ramadan.
Sesungguhnya sesiapa yang bersikap berlebih-lebihan dalam soal makanan akan ditimpa kecelakaan sama ada mengalami penyakit mahupun balasan lain.
Seorang wartawan Syria pernah menulis mengenai kemewahan hidup orang Arab. Kata beliau, di tahun 80an, orang Iraq terkenal dengan kemewahan makanan dan cara makan mereka.
Jika mereka makan, akan dipastikan diatas meja dipenuhi makanan terlebih dahulu, bila mereka bangun dari meja makan, apa yang baki dianggap sampah kotor walaupun mereka belum menyentuhnya.
Demikian juga di Syria, aku melihat seorang wanita sedang membeli roti, dan dalam perjalanan pulang ke rumah, beberapa biji roti itu jatuh ke tanah. Beliau langsung tidak mengambilnya walaupun beliau mengetahuinya. Betapa mewahnya dan sombongnya bangsa Arab dengan makanan mereka.
Aku belum lagi bercerita mengenai cara makan orang Teluk, mereka makan bagaikan raksaksa dan membuang sewenang-wenangnya.
Kini, orang Iraq dan orang Syria terpaksa makan roti kering yang mereka jumpa di atas tanah. Antara sebab mereka jadi begitu kerana mereka tidak mensyukuri nikmat Allah SWT.
Semoga apa dialami bangsa Arab tidak terjadi kepada bangsa Melayu di Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/05/ght.html