Bahaya Amalan Tidak Memotong Tali Pusat Bayi Selepas Kelahiran
Bahaya Amalan Tidak Memotong Tali Pusat Bayi Selepas Kelahiran
Umum diketahui, amalan tidak memotong tali pusat bayi atau dikenali sebagai lotus birth, memang sudah lama diamalkan dan popular dalam kalangan orang terdahulu.
Namun, tidak ramai yang sedar bahawa kaedah yang dianggap ‘semula jadi’ ini sebenarnya tidak disokong oleh sains perubatan dan boleh membahayakan kesihatan bayi.
Apa itu lotus birth?
Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, lotus birth atau nama perubatannya “umbilical non-severance” ialah amalan di mana tali pusat dan uri (plasenta) tidak dipotong selepas bayi dilahirkan.
Sebaliknya, ia dibiarkan melekat kepada bayi dan akan tertanggal dengan sendirinya secara semula jadi, biasanya dalam tempoh 3 hingga 10 hari.
Amalan ini sering dilakukan oleh individu seperti doula (pembantu bidan) tidak bertauliah, yang tidak mempunyai latar belakang perubatan sah.
Walaupun ada yang percaya ia memberi manfaat kepada bayi, pakar perubatan dan kajian saintifik jelas menunjukkan sebaliknya.
Bukti kajian saintifik tentang bahaya lotus birth
Dr Suhazeli berkongsi beberapa dapatan kajian perubatan yang membuktikan risiko amalan ini. Antaranya:
1. Kes bayi dijangkiti sepsis dan endokarditis
Satu kajian kes melaporkan bayi yang tidak dipotong tali pusat selepas lahir telah mengalami sepsis dan endokarditis, iaitu jangkitan bakteria ke jantung.
Kuman yang dikesan ialah Staphylococcus lugdunensis, yang menyerang seawal hari pertama kelahiran.
2. Jangkitan omfalitis (tunggul tali pusat)
Kajian turut mendapati jangkitan pada tunggul tali pusat (omfalitis) boleh berlaku apabila tali pusat tidak dipotong.
Ini boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan serius kepada bayi.
3. Siri kes di Malaysia
Antara tahun 2014 hingga 2017, enam kes lotus birth direkodkan di Malaysia.
Walaupun tiada jangkitan dilaporkan, sebahagian ibu menolak imunisasi penting seperti vaksin Hepatitis B dan suntikan vitamin K.
Ini menunjukkan golongan yang mengamalkan lotus birth cenderung menolak perubatan moden, yang penting untuk kesihatan bayi.
Pandangan pakar perubatan
Beberapa institusi dan pakar perubatan terkenal di peringkat antarabangsa juga menolak amalan ini. Antaranya:
American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG): Tidak menyokong lotus birth kerana kekurangan bukti saintifik serta risiko jangkitan yang tinggi.
Royal College of Obstetricians and Gynaecologists (RCOG): Menasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah ini kerana ia tidak memberi manfaat kesihatan yang jelas.
Dr Clay Jones, Pakar Pediatrik: Menyatakan lotus birth bukan sahaja tidak bermanfaat, malah boleh menyebabkan jangkitan bakteria serius yang mengancam nyawa bayi.
Prof Imelda Balchin (Hospital Damansara): Menyeru ibu-ibu agar tidak mudah terpengaruh dengan amalan yang berbahaya dan tiada asas perubatan ini.
Pertimbangan agama & etika
“Dalam konteks Islam, kajian oleh penyelidik dari Universiti Malaya menyatakan bahawa amalan Lotus Birth bertentangan dengan hukum Islam kerana ia tidak memberikan manfaat yang jelas dan berpotensi membahayakan bayi dan ibu.
“Oleh itu, amalan ini tidak digalakkan dari perspektif syariah,” jelas Dr Suhazeli.
BACA: Mufti Selangor Perjelas Hukum Jual Beli “Blind Box”
BACA: Trend S Line: Bahagian Dakwah JAKIM Ingatkan Umat Islam Jangan Normalisasi Aib
BACA: Masih Relevankah Hibah Selepas Boleh Dicabar Di Mahkamah?
Sumber: Dr Suhazeli Abdullah/FB
The post Bahaya Amalan Tidak Memotong Tali Pusat Bayi Selepas Kelahiran appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/06/bahaya-amalan-tidak-memotong-tali-pusat-bayi-selepas-kelahiran/