Bagaimana Night Sight Pada Pixel Gcam Berfungsi
Night Sight adalah teknologi yang dibangunkan oleh Google bagi melengkapkan ciri pada kamera peranti perdananya, iaitu Pixel.
Pertama sekali, sebelum kita mengenali mode Night Sight, kita terlebih dahulu harus belajar bagaimana cara HDR+ berfungsi, kerana Night Sight dicipta berasaskan kepada HDR+.
Melalui fotografi mobil, antara isu-isu yang dikenalpasti setelah mengambil foto ialah gambar-gambar yang kabur, banyaknya noise, dan keadaan persekitaran pemandangan yang tidak didedahkan (exposed) dengan betul. Perkara ini berlaku terutamanya ketika cahaya sedang malap, manakala ketika cahaya sangat terang pula, sesetengah kawasan akan jadi terlalu didedahkan/terlampau cerah (over exposed).
HDR+ hadir sebagai satu teknologi fotografi pengkomputeran yang dapat memperbaiki situasi seperti di atas dengan mengambil beberapa gambar serentak, menjajarkan kesemua gambar melalui medium perisian, lalu menggabungkan ia kepada satu gambar sahaja.
Tujuan utama teknik ini dibuat adalah untuk menambah baik jarak dinamik pada gambar, iaitu keupayaan untuk memotret pemandangan yang mempamerkan pelbagai ‘jarak’ kecerahan.
Bagi menjadikan gambar tetap ‘tajam’ meskipun pengguna hanya mengambil gambar menggunakan tangan tanpa tripod, ia mengaplikasikan exposure pendek, dan juga akan membuang mana-mana bingkai gambar yang tidak selari.
Demikianlah kaedah HDR+ oleh Google dalam mendapatkan hasil fotografi terbaik untuk telefon pintar.
Rujukan: HDR+: Low Light and High Dynamic Range photography in the Google Camera App
Gambar dari Google AI Blog.
Matlamat bagi mode Night Sight adalah untuk membuatkan hasil tangkapan gambar pada keadaan gelap lebih baik bagi telefon pintar.
Hasil dari HDR+ menunjukkan bahawa dengan menggabungkan beberapa keping atau bingkai gambar dapat mengurangkan noise, dan menambahbaik SNR pada keadaan bercahaya malap/gelap. Tapi bagaimana keadaan yang dikatakan ‘gelap’ tersebut?
Cuba lihat carta berikut:
Jurugambar biasanya akan mengukur tahap cahaya menggunakan unit ‘lux’. Lux adalah jumlah cahaya yang tiba di permukaan per unit kawasan, diukur dalam lumens per meter persegi.
Kamera pada telefon pintar biasanya akan mula berada dalam keadaan sukar untuk mengambil gambar pada 30 lux. Teknik HDR+ membolehkan telefon mengambil gambar pada 3 lux, namun jika julat cahaya adalah bawah dari itu ia akan mula bergantung pula kepada cahaya dari flash.
Night Sight bermatlamat untuk memperbaiki kualiti tangkapan gambar antara 3 lux dan 0.3 lux, menggunakan telefon pintar, shutter tunggal serta tidak mengguna pakai cahaya LED dari flash.
Apa Yang Perlu Dicapai?
1. Dapat melihat dengan jelas gambar pada waktu malam, namun pemandangannya masih lagi ‘benar’, iaitu tidak terlalu terang seperti siang.
2. Dapat melihat warna pada pemandangan.
Night Sight akan menyesuai secara konsisten dengan keadaan persekitaran, sama ada anda memegang peranti dengan tangan atau meletakkannya pada permukaan yang stabil.
Sebelum anda menekan butang shutter, Night Sight akan mengukur gegaran semulajadi pada tangan anda, serta berapa banyak pergerakan dalam kawasan pemandangan.
Sekiranya peranti dan pemandangan berada dalam keadaan stabil (contohnya peranti berada pada tripod), Night Sight akan akan menghabiskan lebih banyak masa menangkap cahaya untuk mengurangkan noise.
Jika terdapat pergerakan signifikan pada peranti dan pemandangan pula, Night Sight akan mengguna pakai exposure pendek, dan ia akan menangkap cahaya yang kurang untuk meminimakan kekaburan dari hasil pergerakan.
Jika subjek anda bergerak ketika gambar sedang ditangkap, Night Sight akan menyesuai untuk mencegah pergerakan sederhana dari ‘merosakkan’ hasil akhir.
Dari hanya mengambil sekeping gambar yang terang tetapi kabur, Night Sight menangkap sejumlah cahaya yang sama banyak dengan beberapa pecahan gambar yang gelap tetapi ‘jelas dan tajam’. Dengan menggabungkan pecahan-pecahan gambar ini, ia dapat mencegah kekaburan pergerakan dan mencerahkan gambar.
Nampak bukan bagaimana asas dari HDR+ diaplikasikan kepada Night Sight?
Dengan menggunakan pembelajaran mesin, Night Sight mengimbangkan warna pada gambar, oleh itu objek atau subjek akan menunjukkan warna mereka yang natural pada waktu malam.
Sedikit tips cara terbaik menggunakan mode Night Sight:
1. Jika anda mengambil gambar seseorang, minta mereka untuk ‘duduk diam’ bagi beberapa saat sebelum dan selepas anda menekan butang shutter.
2. Pegang telefon dengan kemas. Jika boleh, letakkan ia pada permukaan yang stabil.
3. Pastikan lensa kamera tersebut bersih. Lap terlebih dahulu dengan kain pembersih cermin mata kalau boleh.
4. Cuba untuk ketik pada subjek atau di kawasan sekelilingnya bagi membantu kamera fokus ketika mengambil gambar pada keadaan bercahaya malap/gelap.
5. Hindari dari menghalakan kamera kepada sumber cahaya terang, untuk mengelakkan dari refleksi biasan pada gambar.
6. Anda masih perlu dapatkan kawasan dengan sedikit cahaya kerana kamera tidak berfungsi pada persekitaran berkeadaan gelap sepenuhnya.
7. Cahaya yang berserakan secara lembut adalah lebih baik dari cahaya ‘kasar’ (jurugambar boleh faham kot istilah ni).
8. Jika sekitar terlalu gelap hingga kamera tidak dapat fokus, ketik pada penjuru yang mempunyai kontras lebih tinggi, atau pada penjuru sumber cahaya.
Rujukan: See the light with Night Sight
Gambar dari DPReview.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/bagaimana-night-sight-pada-pixel-berfungsi/