Bagaimana Kerajaan Tangani Masalah Air Negara
HARAKAH DAILY

             KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air sering menjadi  topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat susulan pelbagai isu  yang timbul khususnya berkaitan pencemaran sejak beberapa tahun lepas.
Mana  tidaknya, pencemaran air yang boleh dikatakan berlaku saban bulan di  Selangor dan Lembah Klang sering mengakibatkan gangguan bekalan air,  menjadikan rakyat semakin gusar apakah pula yang bakal dihadapi pada  masa akan datang.
Tidak lupa juga pencemaran akibat pembuangan  bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang menggemparkan  negara kira-kira dua tahun lepas hingga menyebabkan 111 buah sekolah  sekitar ditutup.
Persoalannya, sampai bila isu pencemaran sumber air negara akan berlarutan?
    Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk  Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui, sektor air negara harus dibangunkan  dengan lebih holistik mencakupi segenap aspek sebagai jaminan kepada  rakyat pada masa depan.
   Beliau berkata selain pencemaran, antara isu lain berkaitan sektor  air adalah kawasan tadahan yang kritikal, tiada perpaipan bersambung  antara loji rawatan air, kebergantungan kepada hanya satu sumber air  serta tiada sistem discaj efluen industri berpusat.
   “Kajian Dasar Air Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sedang  dilaksanakan termasuk berkaitan pembangunan sumber air dan sektor  pengagihan air, Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) serta sekuriti  air.
   “Sekarang ini berlaku perubahan iklim, maka banyak perkara di luar  jangkaan boleh terjadi. Disebabkan itu kita kena ada perancangan. Dengan  kajian berkenaan, kita sasar pelaksanaannya sehingga tahun 2040,”  katanya kepada Bernama baru-baru ini.
   Tuan Ibrahim berkata antara langkah diambil Kementerian Alam Sekitar  dan Air (KASA) dalam menangani isu pencemaran sungai adalah membangunkan  dan ‘menghidupkan’ denai di tepi sungai sebagai kawasan rekreasi supaya  tiada pihak membuang sampah sewenang-wenangnya.
   Selain itu juga jelasnya, kerajaan turut bercadang membangunkan  Sistem Discaj Efluen Berpusat supaya jika berlaku pencemaran daripada  industri ke sungai, ia dapat dihentikan lebih awal bagi mengelakkan  gangguan operasi loji rawatan air (LRA).
   “Sekarang ini, industri mempunyai sistem discaj efluen masing-masing  namun jika ada sistem secara berpusat, lebih mudah dan cepat untuk kita  kesan seandainya berlaku pencemaran.
   “KASA sedang berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak industri mengenai perkara tersebut,” katanya.
   Tambah beliau, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sistem  perpaipan bersambung antara LRA yang dilihat boleh mengelakkan gangguan  bekalan kepada pengguna sekiranya berlaku pencemaran sungai.
   “Contohnya sekarang ini, jika LRA A tidak boleh membekalkan air, LRA B  tak boleh tolong. Jadi kita mahu wujudkan kaedah sambungan paip supaya  bila ada LRA dihenti tugas, LRA lain boleh tingkatkan operasi dan  sekurang-kurangnya menampung sedikit (penghasilan air terawat). Tidaklah  berhenti terus,” katanya.   

   Malaysia mempunyai 499 LRA dan 85 empangan dengan Sarawak mempunyai  LRA terbanyak iaitu 93 buah dan lapan empangan diikuti Sabah (73 LRA dan  empat empangan); Pahang (72 LRA dan lapan empangan); Perak (46 LRA dan  10 empangan) serta Johor (44 LRA dan 14 empangan).
   Sementara itu, Kedah memiliki 38 LRA dan enam empangan; Selangor (35  LRA dan 10 empangan); Kelantan (35 LRA dan dua empangan); Negeri  Sembilan (23 LRA dan lapan empangan); Terengganu (12 LRA dan dua  empangan); Pulau Pinang dan Melaka masing-masing sembilan LRA dan empat  empangan; Labuan (enam LRA dan tiga empangan); Perlis (empat LRA dan  satu empangan) serta satu empangan di Putrajaya.
   Ditanya pula mengenai persiapan negara menghadapi sebarang  kemungkinan seperti kemarau, Tuan Ibrahim berkata pelbagai langkah telah  dan sedang dilakukan kerajaan bagi memastikan simpanan air mencukupi  bagi menghadapi situasi berkenaan.
   Katanya, walaupun kawasan tadahan air negara agak kritikal, namun  beliau telah berbincang dengan menteri-menteri besar supaya lokasi  tersebut diwartakan serta tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan  demi kelestarian sumber air pada masa depan.
   Pada masa sama juga kata Tuan Ibrahim, kerajaan sedang  memperbanyakkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berhampiran  LRA sebagai sumber kedua atau alternatif untuk membekalkan air kepada  rakyat.
   “Semasa musim tengkujuh kita ada banyak air. Waktu inilah kita kena  takung untuk dimanfaat ketika kita kekurangan air (kemarau). Sebab itu  kita wujudkan TAPS. Katakanlah pencemaran sungai berlaku, TAPS juga  boleh tampung. Inisiatif ini berikutan pergantungan kepada hanya satu  sumber air (sungai) adalah berisiko,” katanya.
   Selain itu kata beliau, satu inisiatif baharu bagi mempelbagaikan  sumber air negara diwujudkan iaitu air pulih guna untuk kegunaan  industri bukan makanan atau minuman dengan Selangor menjadi negeri  pertama bekerjasama dalam usaha berkenaan.
   “Usaha ini diharap dapat mengurangkan pergantungan kepada air terawat  pada masa depan. Kita akan teruskan ke negeri lain pula yang mempunyai  loji kumbahan bersepadu supaya simpanan air negeri dapat ditingkatkan,”  katanya.
   Air pulih guna adalah air dihasilkan oleh Loji Rawatan Air Pulih Guna  (LRAP) yang merawat bio efluen daripada loji rawatan air sisa  selenggaraan Indah Water Konsortium (IWK) melalui proses penapisan ultra  dan osmosis berbalik untuk dimanfaatkan sektor perkilangan bukan  berasaskan makanan atau minuman.
   LRAP pertama dibangunkan di Setia Alam, Selangor yang berupaya membekalkan sebanyak 7.5 juta liter air pulih guna sehari. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/03/bagaimana-kerajaan-tangani-masalah-air.html