Bab Al Rahma Dan Peristiwa Turunnya Nabi Isa Di Akhir Zaman
RIBUAN penduduk Palestin memasuki ruang Bab al-Rahma iaitu pintu masuk ke Masjid al-Aqsa di sebelah timur dan menunaikan solat Jumaat buat pertama kali sejak lebih 30 tahun lalu yang dianggap banyak pihak sebagai kemenangan kepada umat Islam.
Namun, tidak ramai tahu kepentingan gerbang itu dalam Islam selain turut dianggap paling istimewa kepada tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi biarpun setiap agama berkenaan mempunyai pandangan berbeza mengenai pintu berkenaan mengikut kepercayaan masing-masing
Bagi kompleks Masjid al-Aqsa seluas 14.4 hektar itu, Bab al-Rahma adalah pintu terbesar dan paling cantik di antara empat pintu masjid berkenaan dan ia turut digelar Gerbang Emas oleh penganut Kristian dan Gerbang Ihsan oleh Yahudi
Pintu itu diberi nama Rahmah kerana ia tempat Nabi Muhammad SAW berdoa memohon keampunan Allah
Bagi umat Islam, pintu untuk laluan masuk ke masjid itu mempunyai hubungan besar dengan akhir zaman kerana ia bakal menjadi laluan Nabi Isa AS selepas diturunkan di Damsyik
Menurut Pengarah Wakaf dan Infaq Aqsa (WIA), Johan Ariff Ismail, pintu itu adalah lokasi yang menjadi kawasan panas menyebabkan ia menjadi perebutan antara tiga agama
“Hanya satu pintu terletak di timur masjid iaitu Bab al-Rahma. Setiap umat Islam perlu tahu istimewanya pintu itu kerana ia ada kaitan dengan akhir zaman
“Seperti yang banyak disebut dalam hadis, pintu ini akan dilalui Nabi Isa AS yang tidak wafat, sebaliknya diangkat ke langit dan akan diturunkan di Damsyik sebelum masuk melalui pintu Bab al-Rahma,” katanya
Sejak dua tahun lalu, WIA diberi kebenaran khas oleh Jabatan Awquf Aqsa untuk menyelenggara masjid, bangunan sekolah, klinik dan infrastruktur di dalam kompleks terbabit
WIA yang bernaung di bawah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), satu-satunya badan bukan kerajaan yang mendapat hak terbabit untuk membiaya kos berkaitan termasuk pendidikan serta pembayaran gaji imam dan petugas di Masjidil Aqsa
Menurut Johan Ariff, dari sudut agama, kedatangan Nabi Isa AS amat dinantikan oleh Imam Mahdi kerana mempunyai tiga tujuan iaitu menghapuskan salib, babi dan membunuh Dajal yang turut disebut sebagai al-Masih oleh Yahudi
Bab al-Rahma ditutup selama 16 tahun oleh Israel sejak 2003 apabila mendakwa pertubuhan yang menguruskan kawasan terbabit ada hubungan dengan Hamas
Pada 22 Februari lalu, Presiden Majlis Waqf, Sheikh Abdel-Azeem Salhab, bertindak memecahkan kunci dan lebih 40,000 rakyat Palestin memasuki Bal al-Rahma untuk menunaikan solat Jumaat.
Majlis Waqf ialah jawatankuasa di bawah kerajaan Jordan yang diberi kuasa mentadbir Masjid al-Aqsa mengikut perjanjian damai Israel-Jordan
Selain itu, Johan Ariff berkata, petanda akhir zaman yang mempunyai kaitan rapat dengan pintu gerbang berkenaan menimbulkan ketakutan kepada Zionis dan penganut Kristian menyebabkan setiap agama cuba menguasainya
“Apa yang baik untuk Islam, memberi ketakutan kepada Zionis dan Kristian
“Kedatangan Nabi Isa bermaksud 70,000 pengikut Dajjal (iaitu Zionis) akan diperangi
“Penghapusan salib yang akan dilakukan oleh baginda menjadi bukti agama Kristian tidak betul. Ini menjadi ketakutan kepada mereka,” katanya
Sumber :https://www.hmetro.com.my/ekstra/2019/03/432740/kemenangan-umat-islam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.krissmerah.com/2019/03/bab-al-rahma-dan-peristiwa-turunnya.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+krissmerah+%28Kriss+Merah.com+%28Blogger+Melayu%29%29