Autisme Bukan Penghalang Raih Kejayaan Dalam Spm
SHAH ALAM, 5 Mac (Bernama) — Walaupun menghidap sindrom autisme, ia tidak pernah menjadi batu penghalang kepada Akmal Hannan Zulkeflie untuk mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila mampu meraih 11A.
Bagi Akmal Hannan, 17, bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST), Subang Jaya, beliau menganggap masalah komunikasi dan pendengaran yang dihidapinya bukan suatu beban kerana tahu kemampuan dirinya untuk berjaya seperti remaja lain.
Tatkala diumum memperoleh keputusan cemerlang 11A pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hari ini, terukir senyuman gembira bercampur bangga pada anak bongsu daripada empat beradik itu.
Katanya, guru-gurulah yang paling banyak membantu dirinya selain kawan-kawan yang sentiasa mendorong beliau untuk tidak patah semangat serta rajin belajar supaya dapat menempa kejayaan sama seperti orang lain.
Ditanya mengenai resepi kejayaannya, Akmal Hannan berulang kali menyatakan setiap pelajar harus mempunyai sikap ingin tahu dan ringan mulut untuk bertanya dengan guru jika mempunyai masalah dalam pelajaran kerana hanya guru yang dapat membantu mereka.
Di KUALA NERUS, Terengganu, seorang lagi pelajar autisme (masalah pembelajaran), Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff berjaya membuktikan dirinya mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Bukan itu sahaja, beliau yang merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK) Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam, Kuala Terengganu turut muncul sebagai pelajar CBK Terengganu terbaik SPM pada kali ini.
Muhammad Syahmi, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata kekurangan yang dimiliki bukanlah penghalang buatnya malah ia menjadi sumber kekuatan untuk mendorongnya berusaha lebih gigih daripada orang lain.
“Sebelum ini kekurangan saya sering menjadi ejekan rakan-rakan lain, namun dengan kejayaan yang dicapai pada hari ini saya dapat buktikan kepada mereka bahawa pelajar istimewa seperti saya boleh berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman SPM di Sekolah Menengah Sultan Mahmud (SESMA), di sini.
Muhammad Syahmi yang memperoleh keputusan 7 ‘A’ dalam SPM bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang farmasi pada masa akan datang.
Di JOHOR BAHRU pula seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) Teo Guo En tidak mahu menjadikan kekurangan diri menjadi penghalang kepada usaha mengejar cita-citanya untuk bergelar seorang jurutera satu hari nanti.
Dengan keputusan cemerlang 10A, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi itu membuktikan bahawa dia seorang yang tidak patah semangat dengan kelemahan dirinya.
Anak bongsu dari dua beradik itu tidak boleh menundukkan kepala sejak berusia 13 tahun selepas mengalami kecederaan ketika bermain bola bersama rakannya.
Penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori Kurang Upaya Pelbagai itu melalui fasa seorang pelajar dengan menggunakan papan sokongan buku yang direka khas oleh bapa saudaranya.
“Saya kena pastikan kepala sentiasa tegak di hadapan dan jika saya cuba menunduk, kepala saya akan pening dan sakit… selepas itu tidak dapat fokus belajar.
“Sebab itu, saya kena sentiasa fokus dalam kelas dan kerap buat ulangkaji, selain mengikuti kelas tuisyen setiap hari. Dorongan guru dan rakan-rakan yang sentiasa berikan kata-kata semangat membuatkan saya lebih kuat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Teo adalah antara 17 pelajar berkeperluan khas kategori kurang upaya dari pelbagai daerah yang menerima anugerah kecemerlangan bagi kategori Kurang Upaya Pelbagai sempena pengumuman SPM peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, dekat sini.
— BERNAMA
The post Autisme Bukan Penghalang Raih Kejayaan Dalam SPM appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/03/06/autisme-bukan-penghalang-raih-kejayaan-dalam-spm/