Art In The City Kuala Lumpur Sebagai Bandaraya Yang Kaya Seni Budaya
ART IN THE CITY: KUALA LUMPUR SEBAGAI BANDARAYA YANG KAYA SENI BUDAYA
Baru-baru ini AlongMurni (AM) berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran Art In The City yang dianjurkan oleh CENDANA (Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan) . Art in The City bertujuan untuk mempromosikan komuniti seni tempatan dalam mengekspresikan dan mempamerkan bakat mereka, sambil menjadikan seni lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Untuk pengetahuan semua pembaca setia Blog Along Murni, Kempen ini menampilkan 14 karya seni dari pelukis ulung tanah air dan juga akar umbi dimana karya mereka akan dipamerkan dengan jelas di lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur.
Art In The City adalah kempen yang dijalankan selama 6 bulan bagi mempamerkan 14 karya seni dari 13 pelukis ulung dan juga akar umbi untuk meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang dikenali sebagai bandar budaya dan kreatif. Kempen ini berusaha untuk memastikan Kuala Lumpur dikenali sebagai hab budaya dan kreatif yang giat membangun.
Selain itu, Art in the City juga menampilkan pelbagai aktiviti yang dapat dinikmati oleh masyarakat tempatan termasuk lukisan mural, persembahan kebudayaan bulanan secara percuma dengan kerjasama PUSAKA, program mentor serantau dengan OUR ArtProjects, forum seni visual dengan RogueArt, bengkel seni di pejabat korporat, dan pameran seni visual dengan kadar harga berpatutan yang dipanggil SHIFT.
Art in The City berhasrat untuk mengubah landskap bandaraya Kuala Lumpur dengan penampilan karya seni di sekitar kota, menjanjikan sebuah pengalaman visual seni yang tidak dapat dilupakan, terutama bagi pencinta seni. Memang menakjubkan hasil karya seni yang dipamerkan. AM melihat hasil kreativiti pelukis yang begitu indah, menarik dan sangat unik.
Antara kegiatan strategik yang akan dijalankan bersempena kempen ini termasuklah lukisan mural, persembahan tradisional, forum seni visual untuk penggiat seni tempatan, bengkel seni di pejabat korporat, dan pameran seni visual dengan kadar harga berpatutan. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap dunia seni dan budaya tempatan.
Satu gabungan kerjasama yang hebat AM rasakan apabila CENDANA, Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan 12 rakan kongsi lain telah bekerjasama untuk menampilkan karya seni tempatan kepada khalayak ramai dengan mempamerkan dan mempromosikan hasil karya artis-artis tempatan sambil membuktikan betapa pentingnya seni dalam penentuan identiti negara kita. Hasil usaha ini diperkuatkan dengan gabungan sinergi bersama pihak awam dan swasta seperti Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Balai Seni Negara, LEDTRONICS, KL Citywalk, PNB, Lot 10, Bursa Malaysia Berhad, Wisma Maran, Maybank Foundation, NSTP, Wariscan, dan KL Hop-On Hop-Off. Satu gabungan yang hebat bukan??
Majlis Pelancaran Rasmi Art In The City turut disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Haji Khalid bin Abd Samad, Menteri Wilayah Persekutuan.
"Saya teruja dengan kreativiti dan semangat semua pihak yang telah menjayakan Art In The City dimana kerjasama ini menghasilkan platform kepada artis tempatan kami untuk mempamerkan dan memperkenalkan bakat mereka ke dunia luar. Seni dan budaya memainkan peranan sebagai akar umbi dalam pembangunan sesuatu bandaraya dalam melahirkan identitinya yang tersendiri. Kejayaan sesebuah bandar bergantung kepada peghuninya dan idea yang dikongsi. Oleh itu, kerjasama bersama CENDANA untuk membangunkan Kuala Lumpur dengan Art in The City bukan sahaja dialu-alukan, maka saya juga turut gembira dengan hasil usahasama ini yang dapat melindungi hasil seni tempatan lalu menyediakan ruang penerokaan bagi anak-anak seni kita,” kata YB Khalid Abd Samad.
Sebenarnya Kempen ini telah bermula pada Januari 2018 dan artis tempatan dipanggil untuk menyerahkan karya seni mereka yang bertemakan Malaysia. Pada mulanya, lebih 1,000 hasil karya seni telah dikemukakan. Kemudian, ahli panel yang terdiri dari para akademik dan ahli seni dan kebudayaan telah memilih 30 hasil karya untuk memasuki senarai pendek bagi pengundian awam. Setelah proses pengundian awam dijalankan, Art In The City akan menampilkan 10 karya seni dari Suzi Chua, Brindha Kumar, Samantha Cheah (YueYue), Syamsul Addenno, Nor Aziela binti Ahmad, ART:TECH, Natasha Iman, Ahmad Sanuri Zulkefli, Sivabalan Arumugam, dan Jing Chung. Selain itu, paparan luaran yang dijayakan dengan bantuan Balai Seni Negara akan menampilkan 4 karya seni daripada artis legenda seperti Dato 'Mohd Hoessein Enas, Datuk Ibrahim Hussein dan Kok Yew Puah.
"Selaras dengan misi CENDANA untuk memupuk masyarakat seni tempatan, Art In The City adalah peluang bagi kami untuk meningatkan profil artis tempatan dalam mempamerkan bakat mereka. Pelaburan bersama kami dalam seni juga memberi peluang untuk mewujudkan permintaan untuk hasil seni tanahair; untuk mewujudkan aksesibiliti bagi orang ramai untuk menerokai dan menghargai seni tempatan dan juga untuk meningkatkan kualiti hasil kerja artis negara." kata Izan Satrina Mohd Sallehudin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA.
Antara pelukis karya-karya seni yang sempat AM 'capture' bersama hasil seni lukisan mereka adalah:
KATA ALONG MURNI
PLATFORM YANG DISEDIAKAN OLEH CENDANA DALAM MENYOKONG INDUSTRI SENI TANAH AIR DAPAT MEMPERKENALKAN HASIL SENI NEGARA DI MATA DUNIA DI SAMPING MENGASAH DAN MENGGILAP HASIL SENI YANG BEGITU INDAH, MENARIK DAN UNIK. SYABAS AM UCAPKAN PADA CENDANA DAN SEMOGA SEMUA PIHAK TURUT SAMA MEMBERI SOKONGAN KEPADA HASIL KARYA SENI ANAK TEMPATAN.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://alongmurni.blogspot.com/2018/11/art-in-city-kuala-lumpur-sebagai-bandaraya-yang-kaya-seni-budaya.html