Apmm Tahan 4 Lagi Dalang Seludup Rohingya Ke Malaysia
azrulhakimie 
Seludup 202 etnik berkenaan di perairan Langkawi pada 5 April lepas									  	 	   

		  			 			ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lagi  lelaki warga Myanmar yang disyaki menjadi dalang dalam penyeludupan 202  etnik Rohingya ke negara ini di perairan Langkawi pada 5 April lepas.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan  Perlis Kapt Maritim Zulinda Ramly berkata mereka ditahan hasil maklumat  daripada dua lelaki warganegara sama yang telah ditahan sebelum ini  iaitu pada 16 dan 18 April lepas di Simpang Empat dan Guar Chempedak  dekat Yan.
Keempat-empat suspek berumur 24 hingga  53 tahun itu ditahan secara berasingan pada Ahad di Simpang Empat dan  Kota Sarang Semut, di sini serta di daerah Pendang.
“Kesemua mereka ditahan reman selama 14  hari dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan  Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63,”  katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
APMM masih memburu dua lagi suspek yang  telah dikenal pasti menjadi dalang utama mengatur kemasukan pendatang  asing khususnya etnik Rohingya ke negara ini.
Zulinda berkata, pihaknya juga tidak  menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu.  Bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain,  Zulinda berkata APMM telah menahan dua nelayan tempatan selepas menemui  12 beg plastik berisi daun ketum seberat 150 kilogram yang dianggar  bernilai RM9,000 di atas bot mereka di muara Sungai Baru, Perlis, petang  semalam.
Dua lelaki itu yang berumur 24 dan 35  tahun ditahan ketika pihaknya melakukan rondaan di kawasan itu menerusi  Op COVID-19 Laut sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  selepas menerima aduan orang awam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen  30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP). – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/apmm-tahan-4-lagi-dalang-seludup.html