Apandi Dakwa Dipujuk Sri Ram Untuk Tangkap Najib Pada Jan 2018

Bekas  peguam negara Mohamed Apandi Ali menuduh Gopal Sri Ram pernah cuba  memujuknya untuk menangkap perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
Pada  hantaran di Facebooknya hari ini, Apandi mendakwa Sri Ram, mantan hakim  mahkamah persekutuan itu, telah berkunjung ke rumahnya pada Januari  2018, dikatakan atas arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Apandi  berkata Gopal, ditemani oleh seorang peguam muda keturunan Cina, telah  datang ke rumahnya dengan alasan untuk mendapatkan pertolongannya  mengenai perkara tertentu.
"Kemudian tiba-tiba, katanya, itu hanya alasan untuk bertemu saya dan dia mempunyai agenda yang lebih besar.
"(Sri Ram dikatakan menyebut:) Tun M hantar saya untuk bertemu anda."
"(Sri  Ram juga didakwa berkata:) Beliau mahu anda menangkap Najib di  pejabatnya, anda pergi esok jam 2 petang, kami telah mengatur supaya  polis di Putrajaya melakukan apa yang perlu atas arahan anda.
"Kami juga telah mengatur supaya majistret mengeluarkan perintah reman ketika beliau (Najib) dibawa ke hadapannya.
Apandi  selanjutnya mendakwa Sri Ram memberitahunya bahawa beliau akan menjadi  wira di mata rakyat dan juga menjadi peguam negara pertama menangkap  seorang yang sedang menjadi perdana menteri di Malaysia.
Kata Apandi lagi, beliau telah bertanya Sri Ram atas alasan apa Najib hendak ditangkap.
"(Sri  Ram didakwa berkata:) Saudara, rakyat di luar sana merasa kecewa dan  tidak gembira, hakikat bahawa anda menangkapnya, tidak kira alasannya,  akan membuatkan rakyat berbahagia."
Menurut Apandi, beliau mempunyai bukti berupa rakaman CCTV dan saksi mata mengenai kunjungan tersebut.
Kejadian  yang didakwa itu berlaku empat bulan sebelum BN dikalahkan pada Pilihan  Raya Umum ke-14 dan PH menjadi kerajaan baru ketika itu.
Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Sri Ram untuk mendapatkan penjelasan.
Najib dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.
Selepas  kerajaan BN tumbang pada PRU14, Najib disiasat dan kemudiannya  dihadapkan dengan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram  berkaitan dengan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.
Ahli  Parlimen Pekan itu antara lainnya juga didakwa dengan tujuh tuduhan  penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram  sebanyak RM42 juta dana daripada SRC International, antara tuduhan lain.
Perbicaraan  terhadap Najib kerana didakwa menyelewengkan dana daripada SRC  International Sdn Bhd akan berakhir bulan depan.--mkini
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://beritasetiap-hari.blogspot.com/2020/06/apandi-dakwa-dipujuk-sri-ram-untuk.html