Anwar Terus Gempur Kubu Kuat Bn Di Perak
malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Nov 15, 2022 1:41 PM
Kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya tinggal beberapa hari lagi, melihat Pakatan Harapan (PH) terus mengempur negeri Perak dalam usaha merampas semula kerusi itu daripada BN.
Pengerusinya, Anwar Ibrahim semalam membuat jelajah PH Perak dengan mengadakan ceramah di beberapa kubu kuat BN termasuk Bagan Datuk yang ditandingi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar menerima sambutan hangat di setiap lokasi.
Bermula di Sungai Siput pada sebelah pagi, Anwar menyeru kepada rakyat Sungai Siput untuk buat pilihan dengan bijak untuk kembali memenangkan calon PH S Kesavan yang menurutnya mempunyai rekod baik.
Antara yang hadir mendengar ceramah Anwar di Bagan Datuk"Hanya PH yang mampu melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin melalui pelbagai agenda khusus terkait ekonomi dan kebajikan rakyat.
"Usah terpedaya lagi dengan janji BN-PN yang terbukti gagal menjaga kebajikan rakyat dan negara. Saya rayu kepada rakyat berbilang kaum untuk beri peluang kepada PH untuk membawa perubahan buat negara," katanya di hadapan hampir 1,000 hadirin.
Pada PRU kali ini, Sungai Siput melihat persaingan tujuh penjuru setelah penyandangnya Kesavan dicabar oleh Presiden MIC SA Vigneswaran.
Di Tapah, Anwar berkata bahawa dia menawarkan diri menjadi perdana menteri bukan untuk kepentingan diri, keluarga mahupun kroni, sebaliknya bertekad menggunakan pengalaman yang ada untuk memastikan Malaysia kembali unggul dan kuat.
Anwar di TambunDia turut menyindir menteri-menteri kerajaan hari ini berhubung isu kekurangan bekalan telur
"Kita ada 70 menteri. Tapi, tiada pembangunan.
"Harga ayam naik, harga barang naik, telur tak ada. Menteri 70, tapi telur tak ada," katanya di hadapan hampir 500 penyokong PH di Taman Permai, Tapah.
Tapah adalah kubu kuat BN, satu-satunya kerusi parlimen yang tidak pernah kalah oleh MIC.
Penyandangnya selama tiga penggal, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mempertahankan kerusi itu selaku calon BN dalam saingan enam penjuru.
Di sebalik hujan lebat pada sebelah petang, hampir 1,000 pengundi berkumpul di Bagan Datuk.
"Kita tidak meminta untuk diadakan pilihan raya kerana kita mahu kerajaan yang ada untuk berfungsi dengan baik untuk rakyat.
"Kita juga maklum pilihan raya ini tercerna dari intrik kuasa yang berterusan dalam BN. Dan sekarang mereka cuba mengelabui minda rakyat dengan mendendangkan kestabilan. Ini retorik yang diulang-ulang tanpa ada sebarang makna.
"Saya yakin rakyat sedar hanya PH yang mampu dan berketerampilan untuk menjamin kestabilan," katanya di Arena Selekoh, Bagan Datuk.
Anwar turut mengadakan ceramah di Kuala Kangsar dan Padang Rengas.
Jelajah PH negeri Perak semalam, diadakan ketika Perikatan Nasional (PN) mendakwa bahawa Anwar mempunyai rundingan sulit dengan Zahid.
Malaysiakini difahamkan Anwar akan turun semula di Bagan Datuk pada Jumaat ini.
Negeri Perak mengadakan PRU dan PRN secara serentak pada kali ini. Sebanyak 24 kerusi parlimen dan 59 kerusi DUN dipertandingkan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/11/anwar-terus-gempur-kubu-kuat-bn-di-perak.html