Anwar Semakin Hilang Taring
KUALA LUMPUR: Kekalahan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menimbulkan persepsi sama ada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih relevan atau sebaliknya untuk terus memimpin parti pembangkang itu.
Penganalisis politik yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, berkata selain Johor, dua lagi kekalahan dialami PKR bersama Pakatan Harapan (PH) iaitu dalam PRN Melaka dan Sarawak memberi menjadi pukulan teruk kepada reputasi serta imej Anwar termasuk sebagai Ketua Pembangkang.
"PKR secara amnya harus bermuhasabah bagaimana untuk beliau (Anwar) memikirkan masa depan politiknya dan mengenal pasti pemimpin lain yang boleh ditonjolkan untuk memimpin gabungan pembangkang.
"Sebab itu saya merasakan Anwar perlu berjiwa besar menelan 'pil pahit' demi kebaikan PKR dan PH keseluruhannya," katanya kepada BH, hari ini.
Jeniri berkata, PKR ketika berada dalam keadaan lemah berdasarkan kekalahan mereka, ditambah pula faktor kekecewaan rakyat terhadap prestasi PH ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.
Justeru, beliau menjangkakan trend penurunan sokongan terhadap pembangkang terutama PKR akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Jika mereka guna logo sama sekali pun, keputusan akan tetap sama, tidak akan mengubah apa-apa kerana gelombang sentimen kekecewaan jauh lebih besar berbanding logo, janji dan sebagainya," katanya.
Dalam PRN Johor yang lalu, PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri hanya menang satu kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.
Kerusi itu disumbangkan melalui Arthur Chong Sen Sern, yang memenangi di kerusi DUN Bukit Batu dengan majoriti 137 undi.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandangan karisma Ahli Parlimen Port Dickson itu semakin berkurangan.
"Keputusan PRN Johor menggambarkan bukan sahaja PKR, tetapi figura Anwar sebagai tokoh berpengaruh ibarat hilang taring dan saya melihat PKR perlu mengubah strategi untuk menambat semula hati pengundi.
"Kegagalan PKR dalam PRN Johor ini sebenarnya berpunca kegagalan parti itu ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan. Pengundi masih lagi ingat janji dalam manifesto dan itu menyumbang kepada kegagalan PKR," katanya.
Beliau berkata, PKR juga dilihat gagal membawa agenda rakyat dan berkempen tanpa arah tuju selain menggunakan kempen berbentuk serangan ~ BH
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2022/03/anwar-semakin-hilang-taring.html