Anwar Pun Setuju Kerajaan Mesti Beri Rm10 Ribu Kepada Mangsa Banjir
Pada 24 Disember lalu, saya telah mencadangkan agar kerajaan memberi bantuan sebanyak RM10 ribu kepada mangsa banjir yang terkesan teruk akibat bencana itu.
Ini berikutan ramai yang mengalami kerosakan harta benda seperti perabot, peralatan letrik dan lain-lain akibat rumah mereka ditenggelami air selama berhari-hari disebabkan banjir tersebut.
Dengan bantuan RM10 ribu itu dirasakan dapatlah mangsa banjir mengharungi kehidupan baru dengan sedikit rasa lega selepas bencana yang merosakkan kediaman dan harta benda mereka.
Tulisan berkenaan cadangan itu boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2021/12/24/mangsa-banjir-dalam-kesusahan-kerajaan-harus-beri-rm10-ribu-bantuan-kewangan.html
Hari ini, Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim turut memberi cadangan yang sama.
Ini bermakna, keperluan memberi bantuan RM10 adalah perkara yang sangat diperlukan kerana setelah lebih dua minggu berlaku, didapati masih ramai yang menghadapi kesukaran memulakan kehidupan.
Maka, jika benar kerajaan ingin menolong rakyat yang dalam kesukaran membina semula kehidupan, inilah masanya untuk memberi bantuan.
Itu pun RM10 ribu itu masih tidak cukup sebenarnya kalau dilihat kepada kerosakan harta benda dan rumah yang dialami oleh kebanyakan mangsa banjir, tapi setidak-tidaknya ternampak jugalah keprihatinan kerajaan dengan pemberian sebanyak itu.
Di ketika musibah ini, kerajaan janganlah terlalu berkira dan membiarkan karenah birokrasi menyusahkan lagi mangsa dengan meletakkan pelbagai syarat dan kriteria tertentu dalam pemberian bantuan yang diumumkan.
Beri saja bantuan RM10 ribu, habis cerita!!
Yang penting, rasa sengsara mangsa akan terubat dengan sikap prihatin yang ditunjukkan kerajaan.
Di bawah ini adalah kenyataan Anwar berkaitan hal tersebut:-
Kenyataan Media
3 Januari 2022
Kerajaan mesti segera menyalurkan bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir yang terkesan.
Semua mangsa banjir saat ini dalam keadaan yang cukup derita dan terdesak tatkala mereka kini dibebankan dengan kerugian yang amat dahsyat.
Apabila kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka mereka dengan ini harus berikan bantuan segera antara RM5,000 ke RM10,000 setiap orang mengikut keadaan serta kesan kerugian yang dialami akibat bencana ini.
Usah tambah beban rakyat dengan kerenah birokrasi yang melampau yang hanya melambatkan proses menyalurkan bantuan.
Di tahun baru ini kerajaan yang ada mesti ada rencana dan jalan baru dalam mengemudi negara, terutamanya di saat krisis dan dalam aspek menyalurkan bantuan kepada rakyat.
ANWAR IBRAHIM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/01/anwar-pun-setuju-kerajaan-mesti-beri.html