Anwar Perlu Buktikan Secara Jelas Peralihan Sokongan Di Parlimen
KUALA LUMPUR: Proses pelantikan perdana menteri dan seterusnya  pembentukan kerajaan perlu dibuktikan dengan jelas terutama mengenai  peralihan sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat, demikian menurut  pandangan pakar perlembagaan.
Mereka berkata, walaupun dalam perundangan tidak menyatakan secara  terperinci mengenai kaedah dalam menentukan kedudukan perdana menteri  yang hilang majoriti atau pihak mendakwa mendapat sokongan majoriti,  peralihan sokongan itu secara kebiasaannya dibuktikan melalui akuan  bersumpah (SD) ahli Dewan Rakyat.
Justeru, mereka menyifatkan nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan  Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim akur dan  menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan  Persekutuan, menunjukkan proses tersebut belum dipenuhi.
Pakar perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Muhammad Fathi  Yusof berkata, kenyataan Istana Negara bahawa Anwar tidak mengemukakan  senarai ahli Parlimen yang menyokongnya setakat ini memberi gambaran  Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak hilang majoriti.
     “Proses membentuk kerajaan atau melantik perdana menteri perlu  melalui proses jelas. Pertama kena beri gambaran jelas bahawa perdana  menteri tidak mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat. Kedua, pihak mendakwa  mendapat sokongan kena tunjukkan sokongan yang jelas seperti ada  senarai nama jelas mengenai peralihan sokongan yang nyata (dalam  Parlimen). Teguran dari Istana menunjukkan perkara itu tidak berlaku.  Seolah-olah apa berlaku ini acah-acah politik.
“Dalam perundangan memang tidak dinyatakan secara jelas mengenai cara  atau kaedah secara terperinci mengenai perdana menteri yang hilang  sokongan atau pihak mendapat sokongan. Tapi melalui amalan kebiasaan,  perkara ini boleh dinyatakan dengan jelas dengan mengemukakan SD ahli  Parlimen atau senarai nama,” katanya ketika dihubungi Bernama mengenai  kemelut politik melanda negara susulan tindakan Anwar yang juga ketua  pembangkang menghadap Sultan Abdullah untuk membentuk kerajaan selepas  mendakwa mendapat sokongan majoriti lebih 120 ahli Parlimen.
Anwar, bagaimanapun, hanya mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang  didakwa memberi sokongan terhadapnya untuk membentuk kerajaan ketika  sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Namun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam  kenyataan Istana Negara, berkata Anwar tidak mengemukakan senarai nama  ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.
   Sehubungan itu, Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan  menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan  Persekutuan.
Pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof  Madya Shamrahayu Abd Aziz berkata teguran Istana Negara menunjukkan  ketua pembangkang itu tidak mengikut proses undang-undang yang  sepatutnya.
“Mengikut Perkara 43 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, Yang  di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang  pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.
“(Bagaimanapun) belum ikut proses sebab tidak membuktikan yang  perdana menteri sudah hilang kepercayaan (majoriti dalam Parlimen).  (Anwar) perlu buktikan yang perdana menteri tiada majoriti dan beliau  mendapat sokongan majoriti dengan jelas,” katanya.
Shamrahayu berkata jika mengikut Perkara 43 Fasal 4, seorang perdana  menteri yang hilang majoriti boleh berjumpa Agong dan meletak jawatan,  atau Agong membubarkan Dewan dengan nasihat perdana menteri.
Terdahulu, Anwar pada sidang media khas beberapa jam selepas  menghadap Yang di-Pertuan Agong memaklumkan telah mempersembahkan  dokumen “sahih” sokongan lebih 120 ahli Parlimen terhadapnya kepada  Sultan Abdullah.
#Sumber :  FMT        
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/10/anwar-perlu-buktikan-secara-jelas.html