Anwar Ibrahim Dilantik Pm10
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Ia selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, kata beliau.
lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada jam 5 petang di lstana Negara hari ini.
Ahmad Fadil berkata pada sesi perbincangan khas yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah bermula 11 pagi itu, Seri Paduka berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov lepas.
Antara yang berangkat pada perbincangan khas itu ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka menitipkan pesanan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk agar mengambil resmi padi iaitu “semakin berisi semakin tunduk”.
“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk merancakkan landskap ekonomi dan pembangunan negara,” kata beliau.
Seri Paduka, menurut Ahmad Fadil, turut mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Seri Paduka selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu, Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka bagi pembentukan kerajaan yang stabil secepat mungkin berikutan PRU15 menerusi proses yang penuh cermat dan teliti serta pemerhatian yang mendalam.
"Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah," katanya.
Keputusan PRU15 pada 19 Nov lepas menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Pada PRU itu, Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu.
- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lagiberita.blogspot.com/2022/11/anwar-ibrahim-dilantik-pm10.html