Anwar Himpunan Icerd Gimik Politik Nakal
 Predeep Nambiar

Anwar  Ibrahim (tengah) bersama peguam Australia, Mark Trowell (kanan) berucap  dalam sebuah forum sempena Festival Sastera George Town (GTLF) di Pulau  Pinang, hari ini. (Gambar GTLF)GEORGE TOWN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan  tindakan beberapa kumpulan Melayu dan parti politik meneruskan himpunan  membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk  Diskriminasi Kaum (ICERD), selepas Putrajaya memutuskan tidak  menandatangani triti global itu.
Beliau menyifatkan himpunan yang disokong PAS dan Umno itu sebagai  “gimik politik nakal” semata-mata mahu mengucapkan terima kasih kepada  kerajaan kerana tidak menerima ICERD.
“Saya tidak fikir itu munasabah. Saya banyak berhimpun, kita  berhimpun atas prinsip tolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), minta  pilihan raya bersih, tolak kezaliman.
“Ini…ini tak, perhimpunan kerana setuju tolak. Apa benda  ni?” katanya di luar sebuah forum sempena Festival Sastera George Town  (GTLF) hari ini.
Terdahulu, Anwar dan peguam Australia, Mark Trowell berucap dalam forum itu.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan  meratifikasi ICERD, sebaliknya terus mempertahankan Perlembagaan  Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum  ketika pembentukan negara.
Susulan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin  Yahaya dilaporkan berkata, himpunan pada 8 Disember ini tetap diteruskan  di Dataran Merdeka, tetapi ditukar menjadi majlis kesyukuran.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilaporkan  berkata, himpunan pada bulan depan itu tetap diteruskan, walaupun parti  Islam itu menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD.
Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan  berkata, parti itu akan menyertai himpunan itu sebagai tanda “terima  kasih” terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.
Anwar berkata, Putrajaya tidak mengiktiraf ICERD demi “keselamatan negara dan perpaduan masyarakat”.
“Pendirian saya ialah anda membincangkan isu ini panjang lebar dan  kemudian tangguhkannya dalam proses…kerana kita mahu fokus kepada tadbir  urus dan membangunkan institusi terlebih dahulu,” katanya sambil  menambah kerajaan komited terhadap dasar menolak amalan bersifat  diskriminasi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan akan terus  berbincang dengan rakyat dan yakin orang ramai akan memahami kerumitan  isu itu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/anwar-himpunan-icerd-gimik-politik-nakal.html