Anwar Dan Chaos Theory
Nome Nome
Sejak menjadi Perdana Menteri pada November 2022, Anwar Ibrahim berdepan dengan serangan bertali arus dari luar Kerajaan Perpaduan, dan dari dalaman Kerajaan Perpaduan. Dalam bahasa omputeh ini dipanggil 'baptism of fire'.

Umpama kau jadi pemain pengganti ketika pasukan bola sepak kau telah ditaji 3-0 dan misi kau ialah untuk menjaringkan gol untuk comeback. Boleh buat, tapi memang susah. Hanya pasukan hebat macam Liverpool sahaja yang boleh buat macam tu menentang pasukan hebat seperti AC Milan dan Barcelona.
Masuk-masuk pejabat je, krisis ekonomi pasca-COVID belum settle, nak menyakinkan pelabur luar untuk datang melabur pasca-Langkah Sheraton, belum cerita pergolakan geopolitik Amerika Syarikat dan China.
Dalam gabungan kerajaan pulak, semua bergolak. Dalam UMNO bergolak, dalam PKR bergolak, dalam DAP yang dikatakan unite tu pun bergolak. Yang tak berapa nampak bergolak ni cuma GPS tapi dengar cerita pun ada pergolakan.
Untuk mengimbangkan segala permintaan dan menguruskan hubungan intra-parti Kerajaan Perpaduan ni, aku nampak Anwar terpaksa buat tarian piring—macam tarian orang Minang yang mengimbangi piring tu. Silap sikit, pecah dan terkena kaki, berdarah.
Dan bagi seorang yang berusia 78 tahun, untuk berdepan dengan semua ini, memang susah.
Malangnya, partinya PKR, semua menteri-menterinya, maaf cakaplah, hauk. Baik dari segi stratcomm, baik dari segi menguruskan naratif, baik dari membaiki imej. Kelam kabut.
Aku ingat lagi masa isu kuil Hindu di kawasan tanah Jakel di Kuala Lumpur dalam awal tahun ni, macam mana Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah Persekutuan kena tibai sampai lunyai.
Akhirnya Anwar juga kena selamatkan menterinya.
Kemudiannya pemilihan parti yang diadakan pada tahun ini, pertarungan antara geng HIRUK menentang geng DAMAI.
Dan sekarang ada drama cucuk jarum suntikan pulak, yang berlaku pada anak Rafizi Ramli.
Kalau kita perasan, dalam semua pemilihan parti politik di negara kita, yang paling kecoh semestinya antara UMNO atau PKR. UMNO sebab banyak tabur duit, PKR sebab bergaduh sampai baling kerusi. Pernah juga aku hantar petisyen kepada Triple H untuk memasukkan pemilihan PKR dalam jadual WWE, kalau boleh lepas Wrestlemania, sebab dramanya memang macam puting beliung.
Pemilihan parti yang paling takde drama, aku rasa PSM. Kalau ada pun, tidak dilaporkan oleh pihak media.
Tapi mungkin Anwar suka chaos. Sebab dalam chaos ni dia boleh mencapai matlamat. Kalau terlalu tenang politik ni, dia tak boleh susun gerak langkahnya. Mungkin macam tu lah agaknya.
Sebab kalau kita perhatikan, dari zaman Anwar dari ABIM sampai masuk UMNO tahun 1982, dia punya naik ranking tu betul-betul cepat. Dari tahun 1982 ke tahun 1993 apabila dia menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, itu cepat naik tu. Meteoric rise.
Sebab dari 1982 sampai 1988 tu UMNO betul-betul dalam chaos. Persaingan antara Musa Hitam dan Tengku Razaleigh, kemudian berlaku Kem A dan Kem B, sampai UMNO diharamkan. Masa tu Anwar cepat betul meningkat naik, sebab dalam keadaan chaos.
Kemudian pemilihan UMNO 1993 menyaksikan Anwar memimpin Kem Wawasan melakukan 'cultural revolution gaya Mao' dengan golongan veteran UMNO macam Tun Ghafar Baba tewas dalam pemilihan.
Pada tahun 1994 selepas PRN Sabah—antara pilihan raya pertama yang aku tengok kat berita masa aku umur 10 tahun, bagaimana pink form berterbangan di bangunan SUK Sabah masa tu. Selepas kemenangan tipis Pairin Kitingan dan Parti Bersatu Sabah, tiba-tiba ramai yang lompat parti dan sertai BN, dan Sakaran Dandai menjadi Ketua Menteri Sabah.
Tu semua hasil tangan Anwar, yang mencaturkan kemenangan pintu belakang itu. Tetapi disebabkan kelincahan itu, Anwar dilihat melawan tauke, terutamanya apabila Mahathir bercuti tiga bulan dan melepak di Argentina, ketika Anwar menjadi Pemangku Perdana Menteri pada tahun 1997. Akhirnya pada tahun 1998, dia dijatuhkan. Meteoric fall.
Now, semua cerita ni kau boleh cari kat Google. Cuma apabila kita menilai prestasi menteri-menteri kabinet dari PKR, semuanya mengharapkan Anwar Ibrahim untuk tolong. Ini macam Anwar terpaksa menjadi Lionel Messi dalam pasukan yang level lemah macam pasukan nombor 15 liga. Semua benda dia kena cover.
UMNO dan GPS, menteri-menterinya masing-masing buat kerja. Kita nampak Tok Mat sibuk menjadi Menteri Luar ketika Malaysia jadi Pengerusi ASEAN sekarang, kemudiannya Johari Ghani pun ramai yang suka dia. Zahid tu sungguh golongan urban kutuk dia pun, pelajar TVET banyak dapat benefit daripada dia.
DAP dari apa yang aku dengar, ramai Cina tak suka Anthony Loke sebab dilihat terlalu berlembut dengan Melayu. Bendera Jalur Gemilang terbalik tu ditujukan untuk menyusahkan Anthony Loke dalam menguruskan hubungan dengan UMNO, sebuah lagi parti gabungan.
Akmal Saleh tugasnya 'agent of chaos' supaya akar umbi nampak UMNO masih berpegang pada ideologi. GPS pula menuntut autonomi Sarawak, kerana apabila kerajaan pusat dalam keadaan yang lemah, inilah masanya untuk mengambil kesempatan.
PRN Sabah ni aku nak tengok pertarungan antara Musa Aman dan Shafie Apdal. Walaupun dah jadi TYT, Musa Aman masih menyusun atur orang-orangnya dalam politik Sabah. Naratif parti lokal vs parti Malaya juga bakal menjadi isu nanti.
Apapun kita tunggu pengumuman Oktober ni. Aku rasa Sabah dapat banyak ni nanti. Anwar ni kalau nak umum Oktober, tunggu je lah Oktober. Nak orang tunggu dari Ogos ni dah kenapa?
Aku ingatkan tahun 1998 tu dah cukup chaos dah. Sekali sekarang macam-macam hal.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/08/anwar-dan-chaos-theory.html