Antivaksin Jangan Jadi Penghasut Kerana Kejahilan Sendiri
                                Oleh Zulkiflee Bakar                                                                                                                                                                                                                                             

GAMBAR: Abd Razak Aid                   ANALISIS
   WALAUPUN pelbagai kluster akibat penularan Covid-19 semakin  berkurangan dan semakin dapat dikawal tetapi satu lagi ‘kluster’ yang  mungkin akan terus wujud biarpun pandemik tersebut berakhir.
          Kalau ‘kluster’ ini menyusahkan diri sendiri, lantaklah…tetapi  masalahnya ‘kluster’ ini turut menyusahkan dan merimaskan orang lain. Ia  termasuk terus menyebar dakyah mengenai Program Imunisasi Covid-19  Kebangsaan (PICK). ‘Kluster’ yang penulis maksudkan ialah ‘kluster  antivaksin’.
   Soal mereka berasa ‘kebal’ dan menganggap hak mereka sama ada mahu  menerima suntikan vaksin atau tidak, silakan sahaja tetapi jangan ada  antara mereka melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ dengan menghasut dan  menyebarkan perkara itu bentuk berhubung program vaksinasi tersebut.
   Bagi penulis, kelompok antivaksin yang melakukan perbuatan tersebut  ada golongan bermasalah. Walaupun sudah berbuih-buih pandangan  diberikan, biarpun pelbagai fakta dibentangkan dan sudah beribu-ribu  para alim ulama sudah memberi fatwa serta nasihat  tetapi ‘kluster  antivaksin’ terus aktif.
   Kalau mereka mahu menjadi  ‘kelompok kera sumbang’ yang segala pergerakan terbatas memandangkan  peraturan lengkap dua dos vaksinasi bukan sahaja dilaksanakan di negara  ini tetapi juga seluruh dunia termasuk Arab Saudi, teruskanlah tetapi  kenapa mahu ‘meracuni’ pemikiran orang lain.
   Dalam soal ini, penulis tidak salahkan mereka yang tidak divaksin  kerana masalah kesihatan atau masih mempertimbangkan sama ada mahu  menerima atau tidak suntikan tersebut tetapi yang penulis persoalkan  ialah kelompok yang awal-awal lagi menolak vaksinasi disebabkan ‘teori  tidak masuk akal’ mereka.
   Malang ada antara mereka yang bukan sahaja terdiri daripada golongan  cerdik pandai tetapi juga tahu hukum hakam agama. Tetapi entah mengapa  mereka terhumban dalam ‘kluster antivaksin’ tersebut.
   Penulis tidak faham apa lagi kelompok ini mahukan apatah lagi jika mereka beragama Islam.
   Apa yang perlu diketahui, memetik isi kandungan khutbah Jumaat  Jabatan Agama Islam Kebangsaan (JAIS)  hukum penggunaan vaksin Covid-19  dalam kalangan masyarakat Islam diputuskan harus dan wajib diambil  selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan  Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3  Disember 2020.
   ‘’Ini kerana, keutamaan pencegahan sebelum penularan dapat dibendung  dengan lebih menyeluruh. Selain itu, pengambilan vaksin dilihat dapat  menjaga kebajikan dan kepentingan umum bukan individu tertentu,’’  menurut khutbah tersebut.
   Tetapi kenapakah masih ada dalam  kalangan yang bijak bab-bab agama masih menolak. Kalau keputusan majlis  fatwa pun tidak mahu patuh, kata pakar perubahan pun tidak mahu ikut,  kelompok antivaksin ini bijak sangatkah?
   Sebab itulah penulis menyokong apa juga langkah kerajaan dalam  menangani propaganda kelompk antivaksin dan sekatan yang dikenakan ke  atas mereka yang enggan mengambil vaksin.
   Buatlah apa sahaja demi kebaikan rakyat dan negara pedulikan soal hak  asasi kelompok antivaksin dan mereka yang enggan mengambil vaksin.
   Penulis percaya ada dalam kalangan mereka dahulu ‘kuat melalak’ bila  kes Covid-19 tinggi, macam-macam mereka tuduh kerajaan tetapi apabila  program vaksinasi dijalankan kerana ia salah satu usaha paling berkesan  mengawal wabak tersebut, mereka tidak mahu pulak divaksin.
   Jadi kalau kerajaan dok melayan puak-puak ni sampai ke sudahpun  masalah tidak boleh selesai. Justeru jangan pedulikan kelompok tersebut.  Tiada sesiapa memaksa mereka menjadi kelompok jumud dan dipinggirkan,  sebaliknya itu pilihan mereka.
   Kalau mereka berasa boleh meneruskan kehidupan tanpa divaksin,  teruskanlah…mungkin mereka sudah tidak berminat untuk solat berjemaah di  masjid an surau, mungkin mereka sudah bosan makan di restoran, mungkin  mereka memang tiada lagi hasrat untuk Tanah Suci Mekah, mungkin mereka  mahu terperap sahaja di rumah,tidak mahu ke pusat beli belah, tak nak  balik kampung menjenguk sanak saudara dan perkara-perkara lain yang  mewajibkan lengkap suntikan dos vaksin.
   Jika itu pilihan mereka, tak mengapalah kerajaan tidak boleh berbuat  apa-apa, tetapi tolong jangan menyusahkan orang lain terutamanya dengan  menyebarkan berita palsu.
   Dan jangan menganggap mereka didiskriminasi dan hak asasi mereka  dihalang, tiada siapa yang menghalang sebaliknya mereka yang menyebabkan  ia terhalang kerana kejahilan sendiri.
   Dan ingatlah pesan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, ”Pendekatan  kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda  tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/antivaksin-jangan-jadi-penghasut-kerana.html