Antara Mereka Siapa Akan Berkubur Selepas Pru Ini
SHAH ALAM - Gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mula dipalu secara rasminya sejak Sabtu lepas apabila lebih 945 calon di 222 kerusi Parlimen membuat pendaftaran nama mereka.
Ia menjadi satu catatan sejarah apabila angka calon paling ramai bertanding berbanding PRU14 (687 calon) dan PRU13 (579 calon).
Ia berikutan parti-parti politik gagal membina 'khemah' besar sesama mereka sehingga menyaksikan banyak parti bertanding solo.
Dengan begitu banyak calon dan begitu banyak parti bertanding, hakikatnya PRU15 mungkin menjadi tanah kubur tanpa nisan kepada sesetengah pemimpin politik dan juga parti politik terutamanya parti nyamuk.
PEJUANG DIHUJUNG TANDUK
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan parti yang melalui dua kali serpihan. Ia bermula dengan pemimpin serpihan daripada UMNO yang menubuhkan Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (Bersatu) sebelum sekali lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat dan mewujudkan Pejuang.
Dua kali melalui serpihan dan perpecahan, menyebabkan Pejuang hanya mempunyai beberapa pemimpin terkenal iaitu Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Marzuki Yahya.
Selain itu, ia turut menampilkan calon selebriti seperti Datuk Seri Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.
Selebihnya, banyak calon Pejuang lain walaupun mempunyai latar belakang profesional dan NGO, tetapi agak kurang dikenali di pentas politik tanah air.
Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijadikan perbandingan, Pejuang dan parti-parti bersamanya di bawah payung Gerakan Tanah Air, mungkin berusaha lebih kuat pada PRU15.
Ini kerana pada PRN Johor, bukan sahaja semua 42 calon kerusi DUN-nya tewas, malah majoritinya hilang wang pertaruhan apabila mendapat undi kurang satu perlapan daripada undi keseluruhan kawasan ditandingi.
Namun, PRU15 bukan sekadar menjadi hidup mati Pejuang, bahkan mungkin menjadi noktah duka Dr Mahathir dan Mukhriz dalam karier politik mereka.
JATUH BANGUN MUDA
Walaupun dianggap parti paling 'berhingus' dalam PRU15 apabila menampilkan calon-calon muda, namun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memiliki kelebihan atas beberapa faktor.
Pertamanya, Muda diketuai pemimpin yang memegang rekod Menteri Paling Muda dalam sejarah Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Keduanya, baik Syed Saddiq mahupun beberapa calon Muda, mereka mempunyai kelebihan dalam penggunaan platform media sosial dengan kandungan yang kreatif di hati pengundi.
Dan ketiganya, dengan Undi18, Muda mempunyai kelebihan apabila jumlah pengundi berusia 18 hingga 39 tahun adalah lebih 50 peratus daripada 21 juta.
Pun begitu, Muda juga berdepan isu populariti calon selain kesetiaan penyokong kepada parti Muda berbanding parti yang sudah lama seperti BN, Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, setakat ini Muda bakal bertanding di enam kerusi Parlimen di Selangor, Pulau Pinang dan Johor termasuk Muar yang akan dipertahankan oleh Syed Saddiq, manakala lima kerusi lain iaitu Kepala Batas; Tanjong Karang, Tanjung Piai dan dua kerusi lain masih dalam rundingan dengan Pakatan Harapan (PH).
Jika dilihat dari segi jentera parti di atas kertas dan tanpa bantuan undi daripada penyokong PH terutama PKR, Amanah dan DAP, Muda mungkin tewas semua kerusi ditandingi termasuk Muar yang kini disandar oleh Syed Saddiq biarpun beliau popular di media sosial.
Sekiranya Syed Saddiq juga gagal menang sebahagian kerusi Muar, maka Muda mungkin akan 'tunjukkan pintu keluar' oleh PH kerana tidak banyak membantu usaha menawan kembali Putrajaya pada PRU15.
PBM, ZURAIDA MAKIN HANYUT
Satu lagi parti 'baharu' dan agak celaru pada PRU15 ialah Parti Bangsa Malaysia (PBM). Untuk rekod PBM adalah parti dijenamakan semula daripada nama asalnya, Parti Pekerja Sarawak (SWP) oleh Presidennya yang juga bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien dengan tujuan memudahkannya menyebarkan pengaruh ke Semenanjung.
Namun, sehingga kini PBM dilihat gagal mendapat tempat dalam arena politik negara kecuali beberapa ahli politik lompat seperti Datuk Zuraida Kamaruddin, Haniza Talha dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
Walaupun PBM kelihatan seolah-olah menanti buah yang tidak gugur ketika menanti keputusan sama ada BN mahu menerimanya dalam gabungan itu, namun apa yang lebih malang, hanya beberapa minggu sebelum PRU15, tiba-tiba parti tersebut bergolak.
Ia menyebabkan Presiden PBM yang sah, Larry menggantung keahlian 12 pemimpin tertinggi parti itu termasuk Zuraida. Walaupun ibarat sekadar ribut dalam cawan, namun ia menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada parti berkenaan.
Jika krisis dalam PBM berterusan maka tidak mustahil peluang calonnya termasuk Zuraida untuk menang kerusi PRU15 hampir mustahil kecuali Larry Sng yang bertanding di kubu kuat keluarganya turun-temurun.
PENENTU NASIB ZAHID
PRU15 bukan sahaja mungkin menjadi kubur tak bernisan untuk parti-parti kecil. Ia juga mungkin menjadi titik jatuh bangun ramai pemimpin politik.
Antaranya termasuklah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk rekod, Ahmad Zahid dijangka menghadapi saingan sengit sekurang-kurangnya tiga penjuru termasuk daripada bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman.
Biarpun, Ahmad Zahid mungkin masih mampu mempertahankan kerusi Bagan Datuk dimenanginya sejak lebih tiga dekad lalu, namun kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN mungkin akan tergugat jika BN gagal memperoleh majoriti mudah serta membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.
Jika BN gagal mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan baharu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mungkin akan menjadi 'kambing hitam' dan dipersalahkan sepenuhnya kerana memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan PRU15 lebih awal biarpun jentera masih belum bersedia sepenuhnya.
Tambahan pula, tindakan Ahmad Zahid menggugurkan beberapa nama besar atau 'warlord' termasuk Menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (penyandang kerusi Arau); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Turut tidak dinamakan untuk mempertahankan kerusi masing-masing ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin (penyandang kerusi Parlimen Padang Besar); bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan Datuk Seri Ismail Abd Mutalib (Maran).
Pun begitu, jika strategi UMNO kali ini mengena sama seperti di Melaka dan Johor, ia bakal menjadi tonik terbaik untuk Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Nasib Anwar pada PRU15 ini lebih kritikal. Apatah lagi, ketika kebanyakan pimpinan utama parti termasuk ketua-ketua sayap mendapat kerusi selamat, Anwar memilih bertemu dengan orang nombor dua Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Naratif anak tempatan, ayaq dan ayor sudah menjadi isu hangat sejak minggu lalu di Tambun.
Jika Anwar menang, ia ibarat tsunami PKR di Perak tetapi jika Anwar kalah, beliau sudah boleh memikirkan mengenai siapakah yang akan meneruskan legasi PKR.
PRU15 JADI 'END GAME'
PRU15 juga mungkin menjadi 'end game' atau penamat kerjaya beberapa 'pemimpin pakai tiket parti lain' untuk bertanding kali ini.
Antara pemimpin berdepan masa depan politik sukar jika tewas PRU15 termasuklah Shahidan (dulu BN) dan kini bertanding atas tiket PN di Arau; Datuk Che Abdullah Mat Nawi (dulu Pas) kini calon BN di Tumpat dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (dulu calon Pas di Kuala Nerus sekarang bertanding atas tiket BN).
Satu analisis risiko oleh Sinar Premium
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2022/11/antara-mereka-siapa-akan-berkubur.html