Antara Leeds Bielsa Dan Lampard
Bagi yang mengikuti perkembangan Liga Kejohanan, pasti sedia maklum perebutan slot kenaikan automatik ke Liga Perdana Inggeris. Ketika ini, ia membabitkan beberapa pasukan termasuk sebuah pasukan dari Yorkshire bernama Leeds United. Kelab yang kaya dengan sejarah dan tradisi ini sudah terlalu lama berada di luar Liga Perdana Inggeris sejak tersingkir pada musim 2003-2004. Kini di bawah bimbingan Marcelo Bielsa, mereka sudah mencongak peluang kembali ke liga yang dianggap tanah yang dijanjikan oleh para penyokong.
Di bawah bimbingan Bielsa, Leeds menerapkan gaya permainan menarik yang menuntut pemain menekan formasi pihak lawan dan merebut bola sekiranya hilang penguasaan bola. Ketika ini, mereka berada di puncak liga dengan kelebihan empat mata. Namun baru-baru ini, liga dikejutkan dengan skandal pengintipan membabitkan Whites dan lawan mereka, Derby County. County yang dibimbing legenda England dan Chelsea Frank Lampard dikejutkan dengan penemuan seorang pengintip yang mengintip latihan pasukan berkenaan. Kehadiran lelaki tersebut disedari penduduk tempatan dan dilaporkan kepada pihak polis. Tiada sebarang dakwaan dikenakan tetapi itu saja sudah cukup membuatkan Lampard naik angin dengan kerenah Whites.
Jika Lampard menyangka dapat membawa elemen kejutan semasa membawa pasukannya ke Elland Road, ternyata rancangan tersebut tidak berhasil. Pasukan yang diketuai bek tengah Scotland Liam Cooper berjaya menewaskan mereka dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Kemar Roofe dan pemain pinjaman Manchester City, Jack Harrison. Dan selepas perlawanan, Lampard yang masih berbulu menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak beretika dan berharap ada tindakan keras dari Liga Bola Sepak England (EFL) dan Persatuan Bola Sepak (FA). Walaupun Leeds kemudiannya memohon maaf dan bersedia mengingatkan Bielsa tentang tanggungjawabnya terhadap integriti permainan, bagi beliau apa yang dilakukannya itu hanya sekadar sambungan kepada perancangan telitinya terhadap pihak lawan.
Justeru, tidak hairanlah mengapa pada hari ini (semalam mengikut zon masa Britain), beliau mengadakan sidang media dan memberi hujah mengapa ia dilakukan sebegini rupa. Ini termasuklah memberi peluang kepada media melihat sendiri bagaimana lelaki yang digelar El Loco ini bekerja termasuk menganalisis pihak lawan. Kebanyakan analisis mengambil masa empat jam untuk disiapkan bagi setiap permainan. Dan pada akhir sidang media, beliau menutup dengan berkata, “Saya tak menipu. Saya tahu semua perkara yang saya perlu tahu.” Bagi pihak media, ianya sesuatu yang dianggap luar biasa kerana merasakan seolah-olah seperti berada dalam kelas kejurulatihan seperti didedahkan pengulas pasukan Leeds bagi Radio BBC Leeds Adam Pope. Tetapi masih ramai yang menganggap perbuatan sebegini satu perkara yang tidak boleh dimaafkan dan dilupakan begitu saja.
Sebelum ada yang nak meneruskan kecaman ke atas Bielsa dan Leeds, perlu diingat tidak semua pusat latihan kelab menawarkan privasi yang membolehkan pasukan kejurulatihan bekerja tanpa perlu risau gangguan dari pihak luar. Sesetengah pusat latihan ini dikelilingi oleh rumah-rumah kediaman awam dan itu tidak memerlukan seorang genius pun untuk meletakkan tangga atau menebuk lubang pada pagar untuk mengintai pemain. Jika hendak memasang dinding tinggi bak penjara, bersedialah dikecam sekeras-kerasnya oleh komuniti tempatan kerana terlalu berahsia sehingga ke tahap mengganggu hak penduduk.
Justeru harus diingat, sesetengah pengurus amat berahsia tentang rancangan taktikal mereka. Tetapi ada juga bersikap tenang bila rancangan permainan mereka diketahui umum. Peminat bola sepak sedia maklum perancangan taktikal selalunya tidak banyak berubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan melainkan sekiranya mereka melawan pasukan gergasi seperti City atau Arsenal. Dan menariknya, semua tahu apa perancangan taktikal pengurus apabila pasukan turun bermain pada hari Sabtu, Ahad atau Isnin bergantung kepada jadual perlawanan. Kalau ada yang merasakan kerja mengintip ini salah, habis apa pula cerita peranan peninjau yang turun ke stadium pada setiap hari perlawanan? Peranan mereka bukan sahaja untuk menilai pemain sasaran kelab tetapi juga menilai strategi pihak lawan untuk perlawanan seterusnya. Melainkan sekiranya pihak FA menetapkan peraturan tertentu berkenaan soal ini, ia satu perdebatan yang takkan habis sampai esok pagi. Dan dengan perkembangan teknologi hari ini termasuk penggunaan dron, dinding atau tembok tak berguna lagi sebagai pelindung privasi pemain dan pasukan kejurulatihan.
Dan sebut pasal Lampard dan bab mengintip ini, mungkin legenda Chelsea ini lupa apa yang dilakukan bekas bos lamanya di Stamford Bridge merangkap bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho. Mourinho juga turut melakukan perkara sama seperti Bielsa termasuk menghantar secara senyap peninjau ke pusat latihan pasukan lawan, satu perkara yang pernah dilakukan bekas peninjau dan pengurus Blues Andre Villa-Boas semasa ditemubual akhbar Telegraph pada tahun 2011.
Skandal perisikan sukan bertaraf 007
1. Sebuah alat pendengar ditemui di bilik mesyuarat pasukan ragbi New Zealand sebelum perlawanan pertama Piala Bledsoe antara Australia dengan New Zealand pada tahun 2016. Selepas siasatan, pegawai keselamatan All Blacks Adrian Gard didakwa di mahkamah atas dakwaan berbohong dan menjalankan operasi keselamatan tanpa lesen. Walaupun terlepas dari dakwaan pertama, Gard didapati bersalah untuk kesalahan dua.
2. Pada tahun 2007, wujud kekecohan antara Ferrari dengan McLaren apabila maklumat sulit pasukan berkenaan entah bagaimana boleh berada di tangan ketua pereka McLaren, Mike Coughlan selepas disampaikan oleh jurutera Nigel Stepney. Ferrari hanya tahu pasal ini selepas dihubungi seorang pekedai yang diminta membuat salinan dokumen oleh isteri Coughlan. Stepney kemudiannya dihadapkan ke mahkamah Itali dan dihukum penjara 20 bulan atas kesalahan pengintipan korporat dan sabotaj – tetapi tidak pernah menjalani hukuman berkenaan. Sementara McLaren pula selepas menghadapi dua sesi pendengaran Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dikenakan denda 100 juta euro dan disingkirkan dari kejuaraan pengeluar 2007.
3. Pada musim 2013-2014, Cardiff menuduh Crystal Palace mempunyai maklumat tentang barisan kesebelasan utama mereka dua hari sebelum perlawanan yang menyaksikan Palace menang 3-0. Cardiff mendakwa maklumat tersebut diperoleh oleh Iain Moody yang pernah berkhidmat sebagai ketua perekrutan City, satu dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya. Palace kemudiannya didenda oleh liga selepas didapati bersalah atas dakwaan berkenaan.
4. Pada Piala Dunia lepas, seorang peninjau Sweden disyaki mengintip persiapan pasukan Korea Selatan di Austria dengan menggunakan teleskop dan kamera video. Selepas insiden itu diketahui, Korea Selatan mengarahkan pemainnya memakai nombor berbeza untuk mengelirukan sesiapa yang mengintip mereka. Jurulatih Sweden Janne Anderson turut memohon maaf atas kesilapan berkenaan.
5. Pada tahun 2009, sebuah helikopter yang dikatakan membawa Sir Alex Ferguson berlegar-legar beberapa kali di pusat latihan City sebelum perlawanan setempat mereka. Helikopter itu akhirnya mendarat di Carrington bagi membawa pengurus legenda itu ke trek lumba kuda Newbury. Tiada sebarang kesalahan dikesan dan United berjaya mengalahkan jiran bising mereka itu 4-3 hasil jaringan minit akhir Robin van Persie.
SUMBER
1. BBC. (2019). Marcelo Bielsa ‘spy’ revelation: Leeds United boss ‘reminded of club’s integrity and honesty’. https://bbc.in/2W1yIeQ
2. BBC. (2019). Frank Lampard: Derby County boss ‘does not believe’ Chelsea spied. https://bbc.in/2QWP6JW
3. BBC. (2019). Leeds: Marcelo Bielsa says he watches all opponents train. https://bbc.in/2W3WFSY
4. BBC. (2019). Marcelo Bielsa’s Spygate: Other cases of sporting espionage. https://bbc.in/2QWP7O0
5. Wilson, Jeremy. (2011). The Telegraph. Chelsea manager Andre Villas-Boas is an analyst who leaves nothing a chance. http://bit.ly/2Wcqq42
6. Wilson, Paul. (2019). The Guardian. Leeds’ spying should be treated as a form of entertainment, not cheating. http://bit.ly/2T39ACN
Buju Kurung Exclusive Untuk Wanita Berkerjaya
Terbongkar Cara Blogger Dapatkan Organic Traffic Unlimited.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://thetrendingnow.blogspot.com/2019/01/antara-leeds-bielsa-dan-lampard.html