Angkara Susuk Pemanis Nenek Tak Mampu Ucap Kalimah Allah
Wanita berusia 100 tahun itu hanya mampu terbaring kaku. Anak matanya meliar memandang ke kiri dan ke kanan seperti mencari sesuatu yang hilang. Tubuh tuanya kelihatan begitu lemah tidak berdaya. Kulitnya pula berkedut dan kendur di mamah usia.
Gambar hiasan
Setiap hari, wanita yang dipanggil opah itu hanya mengerang kesakitan menanti ajal yang tidak kunjung tiba.
Menurut cucunya yang dikenali sebagai Nani (bukan nama sebenar), neneknya berada dalam keadaan begitu sejak lebih sebulan lalu apabila tiba-tiba jatuh sakit.
Dakwanya lagi, sebelum ini neneknya kelihatan begitu sihat, malah wajahnya juga awet muda walaupun telah meniti usia 100 tahun.
Namun, sejak neneknya tiba-tiba jatuh sakit, wanita yang dahulunya masih gagah untuk berjalan kaki ke mana sahaja itu terus menjadi lumpuh dan tidak berdaya untuk berdiri.
Sejak jatuh sakit, wanita itu telah dibawa ke beberapa buah hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan, namun disahkan sihat dan hanya dimaklumkan cuma sakit tua.
Lelaki kaya
Namun, segala-galanya terbongkar sehinggalah keluarga membawa nenek mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz terkenal untuk berubat.
Menurut ustaz tersebut, nenek didapati telah memakai susuk pada wajah sebagai pemanis dan perlu dipindahkan kepada waris perempuan terdekat.
"Nenek sebenarnya telah memakai susuk berbentuk seperti jarum sejak berusia awal 20-an lagi dan tiada siapa yang mengetahuinya termasuk keluarga," kata Nani.
Kata Nani, menurut cerita yang dimaklumkan neneknya sendiri kepada emak, wanita itu mengaku telah memakai susuk pada wajah semata-mata kerana mendambakan hasrat untuk berkahwin dengan lelaki kaya selepas tidak tahan hidup dalam kedaifan bersuamikan lelaki miskin.
Oleh itu, wanita tersebut telah memakai susuk pemanis dan akhirnya telah berkahwin dengan seorang lelaki kaya selepas bercerai dengan suami pertamanya yang miskin.
Bercerita lebih lanjut, Nani memberitahu, jika hendak membawa neneknya keluar ke mana-mana, wanita itu perlu dimaklumkan tiga hari lebih awal untuk susuknya 'bersiap'.
"Mungkin segelintir pihak tidak percaya dengan kisah ini, tetapi ia benar-benar berlaku," kata Nani.
Sejak jatuh sakit, neneknya telah banyak berubah, malah wanita tua itu tidak lagi berupaya untuk bercakap dengan betul dan hanya terlantar seperti mayat hidup.
Lebih menakutkan, setiap kali menjelang waktu maghrib, neneknya akan mula meracau dan menjerit seperti menahan kesakitan.
Berubah wajah
Walaupun dalam keadaan uzur, selera wanita itu tidak pernah putus, bahkan dia sentiasa berasa lapar dan makan dengan banyak seperti orang sihat.
Nani juga hairan kerana sepanjang hidupnya selama 25 tahun, dia hanya pernah masuk ke dalam bilik tidur neneknya hanya dua kali sahaja kerana sesiapapun tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam bilik tersebut.
"Emak pernah memberitahu, setiap kali selepas mandi, nenek akan berkurung di dalam bilik selama berjam-jam," katanya.
Pernah suatu hari, sewaktu neneknya sedang meracau pada waktu malam, wajah dan suara neneknya tiba-tiba bertukar menjadi seperti lelaki.
Apa yang diberitahu oleh emak, nenek telah memakai susuk lelaki dan ia bermaksud wanita itu mempunyai dua wajah.
Sehingga ke hari ini, keadaannya masih sama dan akan kembali sihat selama beberapa hari sebelum jatuh sakit semula.
Sebagai cucu, Nani berasa sangat kasihan melihat penderitaan neneknya. Bahkan, setiap kali jika diminta mengucap dengan menyebut kalimah Allah, wanita tua itu tidak mampu mengungkapkan kalimah tersebut walaupun selepas susuknya berjaya dikeluarkan.
"Sebagai manusia yang masih hidup, keadaan yang dialami nenek ini membuatkan saya benar-benar terkesan dan insaf.
"Malah menjadi pengajaran buat semua supaya tidak berbuat sesuatu yang bertentangan dengan agama dan juga akidah," kata Nani yang berharap agar neneknya diberi keampunan dan bertaubat sebelum menutup mata.
Nani menceritakan kisah neneknya yang hidup seperti mayat hidup kerana perbuatannya memakai susuk pemanis wajah sewaktu muda semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki kaya.
BACA INI JUGA:
Video Keluarkan Susuk Dari Wajah Yang Mengerikan!Bagaimana Jin Saka Mencari Tuan?
sumber: kosmo
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2019/09/angkara-susuk-pemanis.html