Angin Kuat Punca Struktur Bumbung Smk Seri Meranti Runtuh
Keadaan bumbung SMK Seri Menanti Muar yang runtuh dalam pembinaan semalam. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Kejadian bumbung runtuh di sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti, Muar, Khamis lalu berpunca daripada angin kuat.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan di Facebook menjelaskan, siasatan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah mendapati struktur bumbung itu masih dalam pembinaan dan belum ditutup sepenuhnya.
Katanya, pada hari kejadian, berlaku angin kuat lalu memasuki struktur bumbung dalam keadaan separa terbuka di blok Meranti sebelum runtuh.
“KPM telah mengarahkan pihak perunding terlibat dengan kerja-kerja reka bentuk untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan berkaitan kegagalan tersebut termasuk keselamatan kerja bumbung di blok bersebelahan,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan serta lain-lain berkaitan di sekolah berkenaan sebelum ini dilaksanakan melalui perolehan secara sebut harga oleh JKR Daerah selaras dengan peraturan perolehan yang berkuat kuasa.
Menurutnya, JKR Daerah telah mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung dan penyelenggaraan bangunan di sekolah berkenaan bermula 16 Ogos lalu dan dijangka siap pada Januari tahun hadapan.
“Dalam situasi ini, KPM dan JKR Daerah telah mengarahkan pihak perunding dan kontraktor untuk mengambil tindakan pembaikan dengan segera setelah siasatan terperinci dilakukan bagi memastikan blok yang terlibat dapat digunakan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka,” katanya.
Semalam, media melaporkan bumbung sebuah blok di SMK Seri Menanti yang masih dalam pembinaan runtuh ketika sesi persekolahan di mana semua pelajar sedang menjalani waktu rehat pada Khamis.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan dua buah blok di sekolah itu terlibat dalam proses baik pulih bumbung ekoran strukturnya yang telah usang. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/12/angin-kuat-punca-struktur-bumbung-smk.html