Ancaman Nelayan Asing Di Musim Sotong
Rosli Ilham
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan Terengganu membabitkan rampasan bernilai RM900,000.
Semua bot itu ditahan pada jarak 70 hingga 85 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai antara 8.30 hingga 10.20 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, seramai 17 awak-awak termasuk tiga tekong berusia antara 14 hingga 55 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Selain itu, mereka gagal mengemukakan lesen kebenaran menangkap ikan serta permit kerja sah.
“Kami merampas 125 kilogram sotong serta 4,000 liter minyak diesel dengan rampasan dianggarkan bernilai RM900,000.
“Semua yang ditahan dibawa ke jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia selain tidak memiliki lesen sah untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di laut.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sebanyak RM1 juta bagi pemilik dan tekong manakala RM100,000 untuk awak-awak,” katanya.
Rashidilhadi berkata, pihaknya percaya nelayan asing akan terus menceroboh perairan Terengganu kerana musim sotong sudah bermula, sekali gus menarik mereka ke negara ini bagi mendapatkan hasil laut itu.
Beliau berkata, sejak musim sotong bermula pada Mac lalu, pihaknya menahan 18 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara untuk menangkap sotong.
“Kami percaya terdapat bot kecil milik nelayan asing menceroboh perairan negara yang menjual hasil tangkapan kepada bot induk sebelum mereka membawa hasil itu ke luar negara.
“Kami akan meningkatkan rondaan dan pemantauan setiap masa bagi memastikan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing dapat dibendung,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/04/ancaman-nelayan-asing-di-musim-sotong.html