Anak Baru Keluar Penjara Cekik Dan Tetak Ibu Guna Parang Sampai Mati Gara Gara Di Tegur
MARAN – Seorang anak yang baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah bertindak kejam apabila mencekik sebelum menetak ibunya menggunakan sebilah parang dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Kampung Pesagi, Chenor di sini awal pagi Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mariani Ismail, 55, maut dengan mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah selain ada kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanan.
Mangsa tinggal bersama suspek dan seorang cucu lelakinya yang berusia 10 tahun di rumah berkenaan, namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan apabila sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah.
Suspek yang berusia 39 tahun pula merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan baru sebulan keluar dari sebuah penjara atas kesalahan dadah.
Sumber memaklumkan, sebelum kejadian, mangsa pernah menasihati suspek agar tidak lagi membeli dadah, lebih-lebih lagi selepas permohonan lelaki itu untuk mengeluarkan duit i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diluluskan.
“Suspek dikatakan seperti merancang kejadian pembunuhan apabila dia bertindak menutup pintu dan lampu luar selain memakai parang yang baru dibelinya di pinggang.
“Selepas kejadian, suspek juga dilihat masih tenang dan bagaikan tiada perasaan apabila memberitahu tindakannya itu adalah atas suruhan ibunya sendiri,” kata sumber di sini semalam.
Jelas sumber lagi, kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang tidur bersama cucunya telah didatangi oleh suspek yang kemudian menyerang wanita itu.
Tambahnya, suspek menyerang dengan mencekik mangsa menyebabkan wanita itu mengarahkan cucunya untuk melarikan diri.
“Nasib baik cucu mangsa dapat membuka pintu dan berlari ke rumah salah seorang anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan.
“Anak perempuan mangsa yang bergegas ke rumah kemudian mendapati suspek berada di tepi pintu sambil memegang parang menyebabkannya tidak berani masuk. Dia kemudian menghubungi adik beradik lelakinya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.
Dalam pada itu, anak kelima mangsa, Firdaus Ahmadiah, 36, berkata, dia yang bergegas ke tempat kejadian terus memasuki rumah meskipun abang sulungnya ketika itu berada di tepi pintu sambil memegang parang.
“Saya meluru masuk dan memapah ibu yang sudah tidak dapat bergerak dengan kesan kecederaan yang serius.
“Saya bertanya kenapa abang buat ini (terhadap ibu) dan dia memberitahu bahawa ibu yang suruh dia bunuh,” katanya.
Menurutnya, pada masa itu dia tidak memikirkan perkara lain dan terus membawa ibunya yang berlumuran darah ke Klinik Chenor.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek yang berjaya ditahan penduduk kampung telah direman sehingga 5 Mei depan untuk siasatan lanjut.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menggunakan parang menetak mangsa setelah berhalusinasi mendengar bisikan suara halus yang menyuruh dia berbuat demikian.
“Pemeriksaan luaran fizikal mangsa mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan,” katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/05/anak-baru-keluar-penjara-cekik-tetak.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)