Anak Amanah Kita Ustazah Asma Harun Tegur Trend S Line
Trend membimbangkan yang semakin menular dalam kalangan anak-anak muda Muslim hari ini mengundang rasa gusar ramai, termasuk Ustazah Asma’ Harun – pendakwah bebas, penulis buku dan aktivis dakwah yang lantang bersuara dalam isu-isu moral dan keruntuhan akhlak masyarakat.
Dalam satu hantaran terbaru di Instagram, beliau meluahkan rasa kecewa dan sedih terhadap trend “S-Line” yang kini tular, melibatkan tindakan membuka aib sendiri secara terbuka dan tanpa rasa bersalah – seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa.
Trend ini bukan sahaja meruntuhkan maruah, malah menormalisasikan maksiat dalam kalangan anak muda. Ia satu lagi bukti dahsyatnya fitnah akhir zaman, di mana dosa bukan lagi disembunyikan, tetapi ditayang dan diraikan.
Ikuti perkongsian penuh Ustazah Asma’ Harun ini
Menggigil baca.. Anak-anak muslim kita dengan segaja menjatuhkan maruah dan melondehkan aib sendiri di hadapan ribuan mata. Bahkan, lebih sedih, ramai yang menyebar dan meniru tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa.
Dahsyatnya fitnah akhir zaman! Maksiat dan dosa bukan lagi disembunyikan, bahkan ditayang, disebar dan dibanggakan dengan alasan ikut trend..
Sedangkan perbuatan membuka aib, berbangga dengan dosa dan menormalisasikan maksiat adalah HARAM serta DILARANG KERAS dalam Islam, bahkan mengundang murka dan bala Allah. Na‘uzubillahi min dzalik.
Trend S-Line ini nampak seperti gurauan ringan, tapi hakikatnya membawa kerosakan yang besar kepada akhlak dan maruah.
Ia diinspirasikan daripada drama Korea, di mana satu garis merah umpama tali muncul di atas kepala kononnya menunjukkan siapa yang pernah berhubungan intim. Lagi banyak line merah, maka lagi banyaklah pernah berhubungan, ia ditiru secara terbuka, dengan bangga menyunting gambar sendiri atau orang lain dengan filter seolah-olah mendedahkan kisah silam hubungan peribadi.
Allahuakbar… inilah yang sedang berlaku.
Maksiat dihias, dosa dikaburkan dari hati, lalu disebarkan tanpa rasa bersalah. Apa yang patut disesali dalam doa dan taubat, kini dijadikan bahan hiburan di skrin.
Tuan Puan, duhai Ibu Ayah, guru-guru pantaulah anak-anak kita, jangan terlalu longgar memberi akses kepada dunia digital tanpa bimbingan. Nasihat dan doa kita adalah benteng utama agar mereka tidak terjebak dalam arus yang merosakkan.
Para guru, jangan jemu menegur. Teguran yang kecil hari ini mungkin menyelamatkan satu jiwa esok hari.
Duhai anak-anak muda Muslim, jangan gadaikan maruah diri hanya kerana ingin dilihat trendy. Apa yang kamu anggap biasa hari ini, boleh menjadi penyesalan yang panjang di akhirat nanti.
Trend S-Line ini perlu dihentikan. Ia bukan lucu. Ia bukan hiburan. Ia adalah penzahiran dosa zina yang dimuliakan oleh syaitan dan ditertawakan oleh dunia. Jangan biarkan diri kita menjadi alat kepada rancangan syaitan.
Trend ini adalah antara fitnah akhir zaman. Ia menghapuskan rasa malu, menjauhkan hati daripada takut kepada Allah. Jangan biarkan garis merah yang ditrendykan menjadi sebab maruah tergadai dan aib terbuka di hadapan Allah pada hari tiada tempat berlindung selain rahmat-Nya. Na‘uzubillahi min dzalik.
Allah telah menutup aib kita dengan kasih-Nya. Maka jangan sesekali kita sendiri yang membukanya. Wallahu a‘lam.
Tidakkah kita sedar… Allah yang Maha Penyayang telah menutup aib kita selama ini, tetapi kita sendiri yang membukanya kembali hanya kerana satu trend yang sia-sia?
Rasulullah SAW telah beri peringatan KERAS dalam sabdanya.
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ: يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan AL-MUJAHIRIN. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”
(Muttafaqun a’laih)
Mujahirin: mereka yang mendedahkan dosa dan aib sendiri
Tuan Puan, inilah permainan halus syaitan memperelokkan maksiat, menjadikan yang keji tampak biasa, bahkan bergaya.
Firman Allah SWT:
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ
“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, maka aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada mereka di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di kalangan mereka.”
(Surah al-Hijr: 39–40)
View this post on Instagram
A post shared by Ustazah Asma’ Harun (@ustazahasmaharun)
Sumber: ustazahasmaharun
The post Anak Amanah Kita – Ustazah Asma’ Harun Tegur Trend S- Line appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/anak-amanah-kita-ustazah-asma-harun-tegur-trend-s-line/