Amk S Gor Terbuka Idea Gabungan Besar Pembangkang Tapi Tolak Dr M
malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 2:00 pm
Pemuda PKR (AMK) Selangor terbuka dengan cadangan kerjasama gabungan besar di kalangan parti pembangkang tetapi menolak penglibatan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad
Ketua penerangannya Mohd Khairool Ngadon berkata, cadangan berkenaan kerjasama gabungan besar itu perlu dibincangkan secara lebih mendalam di peringkat Majlis Presiden PH.
“Berhubung dengan cadangan pengukuhan kerjasama di antara parti-parti komponen PH melibatkan ahli-ahli Parlimen bebas serta parti-parti yang tidak pro-Perikatan Nasional, kami berpandangan bahawa cadangan ini perlu dibincang secara lebih mendalam di peringkat Majlis Presiden PH.
“Namun demikian, AMK Selangor ingin mengingatkan dan menggesa agar kerjasama yang dicadangkan tidak sama sekali melibatkan Dr Mahathir Mohamad," katanya dalam kenyataan hari ini.
“PH sewajarnya belajar dari kesilapan lampau. Jangan sesekali membiarkan pisang berbuah dua kali,” katanya lagi sambil menyuarakan persetujuan bahawa parti komponen PH memberi tumpuan kepada PRU15.
Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, telah menggesa pembentukan gabungan besar antara parti pembangkang susulan kegagalan usaha menjatuhkan pentadbiran PN sebelum ini.
"Saya sendiri andaikan PRU akan diadakan pada tahun hadapan dan kita tidak mempunyai banyak masa.
"Jadi, kita mesti kembali bersama dalam satu gabungan, kalau boleh kita nak bawa banyak lagi parti menyertai gabungan kita. Contohnya, Parti Muda yang diperjuangkan oleh Syed Saddiq dan Pejuang," katanya pada 13 Dis lalu.
Amanah dan DAP juga - menerusi kenyataan bersama pemimpinnya, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng - menggesa PH melakukan "anjakan politik" dengan usaha menyatukan ahli Parlimen pembangkang.
Mereka juga mengingatkan PH agar tidak berharap kepada ahli Parlimen kerajaan untuk mengembalikan mandat yang diperolehi, merujuk kepada usaha mendapatkan sokongan kumpulan itu bagi menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini.
Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual pada pada hari sama kenyataan Mohamad dan Lim dikeluarkan, telah dibatalkan dan tiada tarikh baru yang ditetapkan.
Menurut sumber, pembatalan ekoran kenyataan bersama itu menimbulkan rasa tidak senang sesetengah pihak.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/12/amk-sgor-terbuka-idea-gabungan-besar.html