Amira Othman Elak Jadi Mangsa Buli Siber
Tiada kekuatan berdepan komen keterlaluan warga netizen, penyanyi lagu Jaga-Jaga, Amira Othman, 28, memilih lebih berhati-hati sebelum memuat naik hantaran dalam akaun laman sosial.
Sikap netizen terlalu agresif dan lantang bersuara menyebabkan artis kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim ke-10 itu enggan terlalu terbuka dalam laman sosial.
Amira menyifatkan, sikap netizen amat luar biasa dan berbeza ketika era pandemik COVID-19.
"Saya jadi takut setiap kali membaca komen dalam laman Twitter. Warga netizen semakin luar biasa memberikan komen, dahulu keadaannya tidaklah seteruk ini.
"Sikap buli siber tidak sepatutnya berlaku, tetapi siapalah kita untuk mengawal mulut orang. Disebabkan bimbang dan tidak kuat melawan kecaman netizen, saya memilih tidak berkongsi banyak perkara dalam laman sosial.
"Saya hanya berkongsi perkara yang dirasakan perlu kerana netizen hanya nampak apa yang ditunjukkan, tetapi tidak tahu apa yang sebaliknya berlaku. Saya tidak kuat berdepan dengan tekanan, jadi saya memilih bersikap berhati-hati.
"Tetapi, saya juga manusia biasa, ada masa tersilap langkah sehingga mengundang kecaman," katanya yang bersimpati melihat rakan seperjuangan menjadi mangsa buli siber.
Amira yang dilantik sebagai jurucakap Kempen Anti Buli Siber oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask berkata, selebriti bukanlah golongan yang tidak boleh disentuh, tetapi tentulah ada cara untuk menegur.
Katanya, ini kerana ada sesetengah netizen meninggalkan komen tanpa memikirkan hati dan perasaan seseorang individu mahupun ahli keluarga.
"Bukan tidak boleh komen, tetapi berpada-pada ketika menulis. Tiada salah menggunakan ayat sopan dan beradab. Tidakkah mereka terfikir, orang yang dihentam dan dicaci maki mempunyai ibu bapa, anak dan keluarga.
"Kita pun sepatutnya memikirkan masa depan sendiri sebelum menulis. Kita juga bakal memiliki keluarga dan anak-anak, tentunya tidak mahu mereka dikecam seperti mana kita mengecam orang lain," katanya kepada BH Online.
Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman berkata, ada teman seperjuangan mengalami kemurungan gara-gara menerima kecaman hebat netizen, tetapi mereka lebih gemar memendam masalah yang dihadapi bersendirian tanpa berkongsi dengan sesiapa.
"Kerajaan perlu memandang serius kes pembuli siber dan menambah baik ruang aduan untuk mangsa buli siber. Tidak kiralah di kalangan selebriti atau orang biasa, sekurang-kurangnya ada tempat untuk mengadu.
"Saya takut kes buli siber tidak dapat dibendung sehingga menjadi trend di kalangan warga netizen. Tengoklah apa yang berlaku kepada artis luar negara yang mengalami tekanan, kemurungan dan ada yang menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri gara-gara tidak tahan kecaman peminat," katanya.
Amira bagaimanapun berharap perkara seumpama ini tidak terjadi di Malaysia.
"Saya tahu ada teman seperjuangan berdepan perkara sama. Mereka mungkin tidak tunjuk mahupun bercerita mengenai tekanan dihadapi.
"Tetapi, saya berharap sesiapa yang mengalami kemurungan kerana menjadi mangsa buli siber jangan memendam perasaan seorang diri. Sebaiknya luahkan perasaan kepada orang sekeliling supaya tidak memakan diri," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/05/amira-othman-elak-jadi-mangsa-buli-siber.html