Ambilan 10 000 Pembantu Rumah Indonesia Pertengahan Feb Kata Menteri
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin.PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju menerima 10,000 pekerja asing dari Indonesia bagi memenuhi sektor pembinaan dan pembuatan termasuk Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang akan dibawa masuk pada pertengahan Feb ini.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, ambilan itu dijangka dilaksanakan dalam masa satu minggu selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-dua negara.
“Kami bersetuju agar MoU berhubung Pengambilan dan Penempatan PDI ditandatangani pada 7 dan 8 Feb di Bali,” katanya dalam kenyataan, selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Ida Fauziyah, di Jakarta hari ini.
Selain itu, beliau berkata, Indonesia turut bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warganegara itu untuk sektor perladangan.
Menurutnya, ia sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April tahun lalu.
“MoU Induk telah pun dipersetujui termasuklah isu-isu utama seperti One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI.
“Perbincangan berhubung One Maid One House telah dipersetujui untuk menggantikan cadangan One Maid One Task di mana satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.
“Manakala One Channel System telah dipersetujui oleh kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia,” katanya.
Katanya, isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/01/ambilan-10000-pembantu-rumah-indonesia.html