Amanah Sokong Ketegasan Pm Tolak Atlet Israel
MALAYSIAKINI
 
        Walaupun sukan ditegaskan sebagai alat memupuk persahabatan tanpa  mengira latar agama, bangsa dan negara, namun pengecualian boleh dibuat  ke atas kerajaan yang mengamalkan dasar menindas.
Pengerusi Biro  Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah Raja Ahmad berkata itu yang berlaku  apabila Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.
"Negara yang mengamalkan dasar aparteid tidak memenuhi kriteria untuk memupuk semangat kesukanan dan persaudaraan antarabangsa.
"Hujah untuk memupuk semangat persaudaraan melalui sukan antara atlet adalah terbatal (disqualified)  dengan tersendirinya melalui amalan aparteid serta diskriminasi  berterusan kerajaan Israel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam  Dr Mahathir Mohamad menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian untuk  tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para  Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Kata perdana menteri sekiranya skuad Israel itu berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.
“Kita tetap tidak benar... Kalau mereka mai (datang) juga ia adalah satu kesalahan," katanya.
Sebab itu disegani dunia Malah  kata Mahathir Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak  penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan  pendirian kerajaan.
Raja Bahrin berkata keputusan kerajaan itu  adalan konsisten sebagai tanda kebersamaan dengan rakyat Palestin yang  dizalimi rejim Zionis Israel.
"Ini jauh berbeza dengan sikap lemah  kerajaan Malaysia semasa kerajaan Najib Razak yang membenarkan beberapa  pegawai kanan kerajaan Israel menghadhiri konvensyen di Malaysia pada  tahun lepas," katanya.
Beliau  yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan menambah  Israel sendiri tidak menghormati rakyat Palestin yang menjadi penduduk  asal di wilayah tersebut.
Sebaliknya kata Raja Bahrin penduduk Palestin dizalimi, ditangkap, dihalau malah ramai dibunuh di bumi mereka sendiri.
"Jika  tiada sikap menghormati, menyantuni dan meraikan sesama rakyat tempatan  negara sendiri, di manakah letaknya semangat dan roh persahabatan serta  persaudaraan antara atlet Israel di peringkat antarabangsa?" katanya.
Menurut Raja Bahrin, sejak dulu lagi Mahathir mengambil pendirian tegas serta tekal dalam isu kezaliman Israel.
"Kerana itu Malaysia dahulu dihormati dan disegani dunia Islam dan Barat," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/amanah-sokong-ketegasan-pm-tolak-atlet.html