Akta Khusus Warga Emas Akan Digubal Tpm
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata satu akta khusus untuk warga emas akan digubal dalam waktu terdekat bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) yang dipengerusikannya pada hari Jumaat.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata akta tersebut juga antara lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.
“Menyedari Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030, di mana 15 peratus daripada penduduk bakal terdiri daripada golongan ini (warga emas), kementerian akan menggubal akta khusus untuk warga emas dalam waktu yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Wan Azizah berkata kementerian itu sedang merancang untuk mengadakan satu projek rintis untuk mewujudkan bandar raya mesra warga emas dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
“Projek ini adalah untuk menggalakkan penglibatan penduduk dalam perancangan tempatan dan seterusnya mewujudkan persekitaran mesra warga emas,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan terus memperkasakan warga emas dalam komuniti melalui penubuhan 29 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu.
“Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan pada 2018 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mana setiap PAWE menerima bantuan berjumlah RM80,000 bagi pembaikan bangunan dan pembelian peralatan serta RM33,333 bagi tujuan pengoperasian.
“Pada 2019, JKM akan memastikan mana-mana kawasan parlimen yang masih belum mempunyai PAWE akan diberi keutamaan untuk pembinaan pusat itu,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata agenda pemerkasaan MPPWEN akan diteruskan bagi memenuhi hasrat untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada semua warga emas.
“Kerjasama yang lebih erat antara semua pihak yang terlibat adalah penting dan diperlukan bagi menggalas tanggungjawab dan komitmen untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas di Malaysia,” katanya.
The post Akta Khusus Warga Emas Akan Digubal – TPM appeared first on MySuara.Net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mysuara.net/berita/akta-khusus-warga-emas-akan-digubal-tpm/