Akaun 2 Kwsp Covid 19 Antara Tawakal Dan Usaha
Akaun 2 KWSP, Covid-19: Antara tawakal dan usaha
Oleh USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDINMarch 26, 2020 3:00 pmApa salahnya keluarkan caruman daripada akaun 2 sekarang? Tidak perlu tunggu umur 50 sebab, pada umur itu bukan pasti kita masih hidup. Entah-entah sudah mati
Apa ditakutan dengan virus? Bukankah Tuhan ada? Jika Tuhan takdirkan kena, buat macam mana pun kena juga. Jika tak ditakdirkan, buatlah apa pun, tetap tak kena
Kedua-dua perkataan tersebut, dari sudut spiritnya sama iaitu salah faham terhadap konsep usaha dan tawakkal yang menjadi perbincangan dalam konsep qada’ dan qadar, atau perbuatan hamba dan ketetapan Allah
Justeru logiknya, gunalah duit yang ada pada hari ini sehabis-habisnya sebab esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 10 tahun lagi, belum tentu kita masih hidup
Juga, buatlah apa saja. Tak payah pakai penutup hidung, tak payah basuh tangan, tak payah jarakkan diri dengan orang lain, tak payah duduk rumah, sebab kalau Tuhan nak hinggapkan virus kepada kita, hinggap jua
Salah faham konsep usaha dan tawakal bukan perkara baru kerana sudah berlaku dalam kalangan orang terdahulu. Justeru, Nabi Muhammad SAW meminta sahabat supaya menambat unta terlebih dahulu, barulah bertawakal
Umar pernah memukul seorang pencuri. Puncanya, apabila Umar bertanya orang itu alasannya mencuri, dia menjawab, Allah takdirkan dia jadi pencuri
Umar memukulnya. Orang itu terkejut dan bertanya kepada Umar alasan dia dipukul, Umar menjawab pula, Allah takdirkan dia memukulnya
Umar bukan salah faham, tetapi menggunakan peluru tuan punya peluru untuk mematahkan hujahnya
Hal yang sama boleh dibaca dan difahami daripada kiisah Ibrahim dalam al-Quran yang melihat bintang, bulan dan matahari, lalu dia berkata, inilah Tuhanku
Ibrahim tahu itu bukan Tuhan, tetapi mematahkan hujah kaumnya yang mengambil semua itu sebagai Tuhan dengan hujah kaumnya sendiri. Hujah itu berhasil
Umar juga pernah memukul seorang lelaki yang hanya duduk di masjid dan berdoa tanpa bekerja. Nabi SAW pernah memasukkan kayu ke kapak seorang sahabat sebagai hulu dan menyuruh sahabat itu mencari kayu api daripada sekadar meminta-minta
Berdoa di masjid dan meminta-minta juga dikira usaha, tapi ada usaha yang lebih baik daripada sekadar berdoa dan meminta-minta iaitu bekerja di lapangan dan mencari kayu api
Jika suatu usaha boleh dibatalkan dengan usaha lain yang lebih baik, bagaimana dengan orang yang tidak berusaha langsung
Namun begitu, dari suatu sudut, boleh juga dianggap doa dan meminta-minta bukan usaha, kerana kedua-duanya tidak menggunakan keupayaan secara maksimum
Lantaran, perkara yang dikata sebagai usaha ialah, memaksimumkan penggunaan segenap keupayaan, atau menghabiskan segenap keupayaan. Setelah itu barulah berdoa dan meminta-minta
Paling baik, usaha dan doa berjalan seiring atau serentak tanpa ditentukan mana satu dahulu dan mana satu kemudian dalam semua keadaan
Syeikh Ahmad al-Raisuni menulis tentang Maqasid al-Du’a dengan panjang lebar dan hubung kaitnya dengan usaha dalam bukunya Madkhal Ila Maqasid al-Syariah. Dapatkan dan baca buku itu dalam bahasa Arab
KejahilanIsu sekarang ialah, sebahagian anggota masyarakat kita masih terperangkap dengan kejahilan yang ketara tentang konsep doa, usaha, tawakkal dan takdir
Ada orang yang berdoa tanpa berusaha, dan ada juga orang yang berusaha tanpa berdoa. Padahal, kedua-duanya perlu berlangsung secara seimbang dari sudut kefahaman dan pelaksanaan
Perintah Allah agar kita memakmurkan bumi adalah bukti kewajiban berusaha. Kekasih kita Muhammad SAW berniaga dan mengambil upah memelihara kambing, nabi Ayyub menjadi tukang besi, nabi Syuib membela kambing, Abu Bakar berniaga, begitu juga Umar dan Uthman. Mereka semua berusaha
Kenapa mereka berusaha? Mereka tak cukup yakin Tuhan pemberi rezeki? Iman mereka belum 100 peratus? Bukankah lebih wajar mereka beribadat di masjid dan berzikir saja
Pendek kata, tidak ada dalam seerah para Nabi dan sahabat yang hanya hidup menyerah tanpa berusaha sama ada usaha untuk menghasilkan atau usaha mengelakkan sesuatu. Berniaga adalah usaha menghasilkan pendapatan dan mengelak kemiskinan
Demikian halnya dengan situasi kini. Duduk di rumah adalah usaha menghasilkan kesihatan dan mengelak penyakit. Mencarum dalam KWSP adalah usaha mewujudkan tabungan hari tua dan mengelak kehidupan susah pada usia berkenaan
Jika dikata, belum tentu kita akan hidup sehingga berumur 50 tahun, entah-entah sudah mati. Bagaimana? Saya teringatkan hujah Ust Ni’amat Yusuf (almarhum) dalam satu ceramahnya di Perlis tentang keimanan kepada neraka
Katanya, ada orang tidak beriman dengan neraka kerana dianggap dongeng dan khayalan untuk menakut-nakutkan manusia. Ya, neraka adalah alam akan datang dan orang Islam diminta beriman dan yakin dengan kewujudannya
Justeru, orang beriman akan tekun beramal saleh untuk mengelak daripada azab neraka. Jika neraka benar-benar wujud, maka orang beriman terselamat dari neraka sebab sudah mengambil langkah pengelakan
Tetapi jika neraka tidak wujud misalnya, hal itu tidak merugikan apa-apa, kerana orang beriman sudah bersedia. Begitu halnya dengan tindakan mengeluarkan caruman akaun 2 sebelum berusia 50 tahun
Jika seseorang mati awal, itu tidak merugikan sebab caruman itu diwarisi oleh waris. Tapi jika sudah dikeluarkan dan seseorang masih hidup sehingga berumur 50 tahun, apa lagi yang ada
Hal itulah yang dipanggil usaha seiring dengan tawakkal. Kerana tawakkal bermaksud persediaan untuk berdepan dengan suatu situasi yang kita tidak tahu masa, bila, bagaimana dan apa yang bakal berlaku
Kita berkurung di rumah kerana kita tidak tahu jika kita keluar, kita akan kena virus atau tidak. Jika tidak keluar, kita percaya tidak kena, tapi apa jaminan jika kita keluar kita tidak kena
Tidak keluar rumah adalah usaha seiring tawakkal sebab kita tidak tahu jika kita keluar, dimana, bila dan bagaimana kita akan kena. Jadi, usaha terbaik ialah tidak keluar rumah. Rujuk kisah Nabi SAW suruh sahabat cari kayu api di atas berkaitan usaha terbaik
Kehidupan ini berjalan atas landasan sunnatullah yakni undang-undang dan peraturan Allah, yang disebut juga sebab musabbab atau sebab dan akibat
Ambillah sebab dan serahkan akibat atau kesudahannya kepada Allah
*Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/03/akaun-2-kwsp-covid-19-antara-tawakal.html