Ahli Ppbm Desak Ketua Bahagian Letak Jawatan
MOHD. FITRI HASSAN
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pendang menghadapi pergolakan serius termasuk terdapat desakan agar Ketua Bahagiannya, Abdul Razak Khamis segera melepaskan jawatan kerana gagal memimpin parti itu dengan baik.
Sehubungan itu, sayapnya, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa pucuk kepemimpinan Bersatu negeri segera campur tangan menyelesaikan masalah ini, sekali gus mengambil kira suara akar umbi yang mahu Abdul Razak segera diganti dengan pemimpin lain.
Timbalan Ketua Armada Bersatu Pendang, Mohd. Fitri Hassan berkata, pergolakan yang berlaku ini bukan perkara baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, majoriti 44 cawangan Bersatu di Pendang yang mewakili lebih 1,000 ahli sememangnya sudah lama memendam rasa dan kecewa terhadap kepemimpinan parti di peringkat bahagian.
Katanya, hal demikian termasuk dalam soal pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), baru-baru ini kerana perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam kalangan ahli.
“Selain itu, kita turut mempertikaikan tindakan Abdul Razak yang menafikan hak kepemimpinan Armada untuk bersama dalam mesyuarat dan persidangan Bahagian Bersatu.
“Malah, beliau (Abdul Razak) juga menidakkan hak orang awam untuk menjadi ahli parti apabila borang keahlian yang diisi tidak didaftarkan.
“Sekurang-kurangnya 42 daripada keseluruhan 44 cawangan menolak kepemimpinan Abdul Razak berikutan banyak tindakannya dilihat sebagai tidak wajar selain mengundang pelbagai masalah serta menyebabkan perpecahan di dalam parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Fitri turut menyifatkan Abdul Razak sebagai tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana masih mengamalkan sikap semasa berada di dalam parti lama iaitu budaya menjilat, mengampu serta mengipas.
“Kita berharap agar kepemimpinan Bersatu negeri campur tangan dan segera menyelesaikan masalah ini sebelum berlangsungnya pemilihan parti tahun depan.
“Malah, jika Abdul Razak masih tidak mahu mengosongkan jawatan, kami memohon supaya kepemimpinan tertinggi bubarkan sahaja Bersatu Pendang,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bersatu-pendang-bergolak-1.797852#ixzz5YWPoBkW9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.azmykelanajaya.com/2018/12/ahli-ppbm-desak-ketua-bahagian-letak.html