Ah Long Salah Rumah Simbah Cat Merah Tinggal Nota Ugutan
Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
GARA-GARA pinjaman wang tanpa lesen atau ah long tersalah rumah, seorang penghantar barang kerugian dan hidup dalam ketakutan apabila kediamannya disimbah cat merah di Taman Muhibbah di Kulai kelmarin.
Mangsa, Mohd. Hafiz Mohd. Khairi, 36, berkata, ketika kejadian dia dan isteri bersama-sama tiga anaknya pulang ke kampung di Kota Tinggi pada malam kelmarin dan balik ke rumah mereka pada pukul 8 pagi semalam.
Dia berkata, apabila sampai mereka amat terkejut melihat pagar dan pekarangan rumahnya disimbah cat merah selain terdapat nota ugutan yang ditinggalkan di pagar rumah.
“Saya hairan melihat cat merah disimbah di seluruh rumah saya. Saya tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa apatah lagi ah long.
“Tiga daripada lapan kucing saya turut terkena cat merah. Beberapa ikan peliharaan saya turut mati kerana cat merah masuk akuarium,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Taman Tropika di sini hari ini.
Mohd Hafiz (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salian laporan polis dan foto-foto rumah disimbah cat merah di Taman Muhibbah, selepas sidang akhbar Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Batu, Taman Tropika, Kulai, hari ini Katanya, nota ugutan yang ditinggalkan itu merupakan amaran untuk membakar rumahnya jika enggan membayar balik pinjaman.
Menurutnya, ah long meninggalkan nombor telefon Singapura dalam nota ugutan itu dan meminta menghubungi individu bernama Kent dan apabila isterinya menghubungi nombor tersebut dan memaklumkan tidak pernah meminjam wang, mereka tidak peduli dengen penjelasan yang diberikan.
Dia berkata, mereka juga meletakkan alamat jirannya dalam nota ugutan berkenaan yang merujuk kepada rumah sebelah.
Mohd. Hafiz mendakwa, ah long berkenaan hanya mahukan duit mereka dibayar dan susulan itu dia membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang keselamatan keluarganya terutama anak-anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.
“Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya, lebih-lebih lagi ah long berkenaan mengancam untuk membakar rumah saya. Mereka menyuruh saya membayar bagi pihak jiran jika saya tidak mahu membahayakan nyawa keluarga saya,” katanya.
Dia ada memberitahu jirannya tentang kejadian itu namun mendakwa bahawa tiada seorang pun daripada keluarga mereka meminjam wang.
Beberapa ikan peliharaan turut mati selepas cat merah masuk akuarium “Jiran saya yang merupakan pasangan warga emas berusia 60-an dan anak lelaki mereka berusia 38 tahun berkata, tiada sesiapa di rumah mereka meminjam wang daripada peminjam.
“Mereka memberitahu saya bahawa mereka juga telah menghubungi dua anak mereka yang tinggal di Singapura dan turut mendakwa mereka tidak membuat sebarang pinjaman,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keluarga Mohd Hafiz tidak bersalah dan berharap polis dapat menyiasat perkara itu secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
“Ini adalah tidak adil untuk keluarga kerana mereka tidak melakukan kesalahan. Ugutan daripada pemberi pinjaman terlalu melampau dan menyebabkan tekanan kepada keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada enam keluarga yang telah diancam ah long sejak Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/ah-long-salah-rumah-simbah-cat-merah.html